fbpx

Pembeli kediaman dari Singapura dijangka meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jumlah pelabur hartanah dari Singapura yang memiliki aset di negara ini tidak membimbangkan. – gambar hiasan

PETALING JAYA – Langkah ­Singapura yang menaikkan kadar cukai kepada warga asing untuk membeli hartanah kediaman di negara tersebut daripada 30 peratus kepada 60 peratus di­jangka membuatkan mereka beralih kepada pasaran kediaman di Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurut firma teknologi hartanah, Juwai IQI, kebanyakan daripada pembeli asing ini akan melihat kepada hartanah berharga sekitar RM2 juta dan ke atas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kashif Ansari berkata, kedudukan Malaysia yang bersebelahan dengan Singapura, menjadikannya sebagai lokasi pertama yang dilihat pembeli sebagai pilihan utama.

“Malaysia menawarkan pelbagai pasaran hartanah bandar kepada pelabur yang mana, setiap satu daripadanya memiliki saiz yang setanding dengan keseluruhan pasaran hartanah di ­Singapura.

“Malaysia juga mengalu-alukan pelaburan hartanah asing, dengan program Malaysia Rumah Keduaku yang telah di­semak semula direka secara ­eksplisit untuk pemohon yang lebih kaya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, Kashif menambah, pembeli hartanah asing di Si­ngapura hanya berjumlah kira-kira 1,000 orang setiap tahun, ­sehubungan itu, pasaran harta­nah tempatan tidak akan dibanjiri pembeli ­asing yang beralih dari Singapura ke sini.

“Jualan kediaman di Malaysia berjumlah RM94.3 bilion tahun lepas dengan urus niaga rumah mewah menyumbang kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan, atau RM14 bilion.

“Gelombang baharu pembeli asing akan menjadi berita baik untuk hartanah tidak terjual, memandangkan 14 peratus daripada kediaman tidak terjual berada dalam julat harga ter­tinggi iaitu RM1 juta dan ke atas,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI