PUTRAJAYA- Kerajaan Perpaduan hari ini bersetuju supaya pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia diteruskan melalui Digital Nasional Berhad (DNB) sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, susulan itu, peralihan kepada model dwirangkaian akan dilaksanakan berpandukan syarat yang selari dengan amalan di peringkat global.
Katanya, ia menawarkan kepelbagaian rangkaian bukan sahaja untuk rakyat tetapi untuk sektor perindustrian yang merupakan antara kumpulan sasar penggunaan teknologi 5G.
“Keputusan tersebut dibuat dengan anjakan fokus kepada elemen penerimagunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G secara komprehensif.
“Model itu turut mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Komunikasi dan Digital di sini tadi. – KOSMO! ONLINE