fbpx

Nadeera masuk Big Stage 5 demi populariti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADEERA

TIDAK menyerlah biarpun sering menyertai pertandingan nyanyian sejak 2012, semua itu bukan alasan untuk penyanyi Nadeera Zaini untuk melupakan impian menempatkan nama dalam industri muzik.

Pada usia 29 tahun, bekas juara Lagu Cinta Kita musim kedua Nadeera itu juga tidak berasa terlambat untuk menggilap nama sebagai penyanyi.

Dia bahkan percaya penyertaannya dalam program nyanyian boleh membuka jalan untuk terus membuktikan kehebatan vokalnya setanding penyanyi lain.

Selain pertandingan terbesar yang pernah disertai, Nadeera menganggap Big Stage sebagai pentas akhir untuk mencari populariti sebagai penyanyi.

“Senang kata saya memang mencari populariti dalam Big Stage kerana apa-apa yang mahu dilakukan seperti keluarkan single selepas ini menjadi senang.

“Saya juga suka cabar diri untuk menyertai pertandingan nyanyian, sementelah saya pula memang tidak mahu cari populariti dengan mudah seperti cipta gimik atau kontroversi.

“Sebelum ini juga saya pernah menyatakan bahawa Big Stage merupakan pentas terakhir yang saya akan sertai dan tidak terniat untuk mencuba nasib dalam program lain,” kata pemilik nama lengkap Farah Nadeera Zaini itu.

Dengan pengalaman selama lebih 10 tahun berada dalam industri muzik, Nadeera masih menganggap dirinya tidak dikenali umum.

Jadi, keputusan diterima masuk Big Stage edisi 2023 sebagai jalan terakhir untuk dikenali lebih ramai.

“Meskipun saya sudah ada lapan hingga 10 single tetapi masih lagi tidak dapat letakkan nama saya dikenali umum.

“Orang masih bertanya-tanya siapa Nadeera. Jadi, kalau saya sudah ada nama dan pasti senang dapat tawaran kerja,” ujarnya.

Penyanyi asal Johor itu tidak gentar dengan jolokan Budak Baru Nak Up (BBNU) yang sinonim dengan Big Stage.

“Saya kiranya mencuba nasib walaupun menyertai pertandingan digelar BBNU. Lagipun, sudah lama saya tunggu peluang ini.

“Dari berusia 25 tahun semasa Big Stage pertama kali lagi saya memang mengimpikan untuk menyertai pertandingan ini,” jelas Nadeera.

Big Stage 5

Menerusi Big Stage musim kelima. Nadeera akan bersama-sama dengan Isaac Voo, Firdaus Rahmat, Meer Nash, Naufal Azrin, Aufahanie, Puteri Khareeza dan Putera Muhammad memburu gelaran juara.

Program realiti yang akan berlangsung pada 7 Mei di Astro Ria turut disertai oleh peserta duo dan berkumpulan seperti Dem Lepak Boyz dan COEX untuk memberi lebih ruang kreativiti dan versatiliti dalam setiap persembahan.

Bezanya kali ini, peserta luar negara dari Brunei Darulssalam, Indonesia, Singapura dan Korea Selatan akan diperkenalkan pada konsert minggu pertama.

Selain kejutan peserta, seorang juri akan diperkenalkan pada konsert minggu pertama yang bersama-sama menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap bersama-sama Aina Abdul.

Malah, selebriti serba boleh Elly Mazlein menjadi muka baharu bertindak sebagai hos mengemudikan pertandingan nyanyian bakat-bakat muda tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI