fbpx

Mahkamah: Bekas polis direman 7 hari samun peniaga sayur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUSPEK yang merupakan bekas Lans Koperal direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

MELAKA – Seorang bekas Lans Koperal direman selama tujuh hari bermula hari ini selepas dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata secara berkumpulan di kawasan perumahan di Taman Bukit Cheng, di sini Sabtu lalu.

Perintah reman sehingga 9 Mei itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Sharda Shienha Mohd. Suleiman terhadap suspek yang berusia 35 tahun bagi membantu siasatan polis.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada pukul 12.30 tengah hari, semalam.

Katanya, tangkapan dibuat selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang peniaga sayur berusia 25 tahun yang mendakwa telah disamun dua lelaki bermotosikal di hadapan rumahnya di Taman Bukit Cheng.

“Pengadu memberitahu dia telah disamun pada pukul 12.05 tengah malam pada 29 April lalu dengan salah seorang suspek telah mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukannya ke arahnya.

“Pengadu yang ketakutan telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM400 dan sebuah telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, bertindak atas hasil maklumat, suspek berjaya ditahan dan semakan lanjut mendapati individu terbabit merupakan bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal.

“Suspek ditamatkan perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2016 disebabkan masalah disiplin dan kita telah merampas pelbagai barang kes termasuk satu unit bekas plastik yang mengandungi sebutir peluru.

“Peluru itu didakwa adalah miliknya yang masih disimpan setelah diberhentikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI