fbpx

Mahkamah: Balu, anak, ibu Jamaluddin Jarjis belum boleh tuntut harta RM2 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kalsom (dua dari kiri) bersama tiga anaknya ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini. Foto oleh Fariz Rosadio

KUALA LUMPUR – Status tuntutan harta sepencarian RM2 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr.Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr. Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya belum mencapai kata muktamad di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Justeru, Hakim Syarie Abdul Shukor Abd. Hamid menetapkan 16 Ogos depan untuk sebutan bagi semua pihak mengemukakan hujahan sama ada mereka bersetuju dengan penyelesaian atau perlu dibicarakan dengan tuntutan tersebut.

Prosiding hari ini berlangsung secara tertutup dan hanya dihadiri keluarga plaintif dan defendan.

Sementara itu peguam syarie, Nur Hidayah A .Bakar yang mewakili salah seorang defendan iaitu ibu Jamaludin, Aminah Abdullah berkata, ketika ditemui berkata beberapa perkara telah dibangkitkan oleh kedua-dua pihak.

“Belum ada penyelesaian muktamad. Jadi pihak-pihak diberikan peluang berbincang sebelum 16 Ogos untuk penyelesaian. Ada perkara capai kata sepakat, ada perkara belum dapat penyelesaian kerana wujud perkara dipertikaikan oleh kedua-dua pihak.

“Maka semua pihak diminta mengemukakan hujahan (berhubung penyelesaian) sebelum tarikh sebutan,” katanya ketika ditemui.

Kalsom, 67, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya Aminah sebagai defendan.

Pada 28 Ogos lalu, mahkamah itu membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.

Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI