JOHOR BAHRU – Lebih 100 buah rumah rosak di Kampung Melayu Mejidee di sini akibat dibadai ribut berserta hujan lebat dalam kejadian pukul 2.45 petang hari ini.
Seorang penduduk, Nur Shahida Hasbol, 35, berkata, ketika kejadian dia bersama enam ahli keluarganya termasuk anaknya yang berumur sembilan tahun berada di dalam rumah.
“Saya amat takut menjerit menyebut nama Allah berkali- kali dan memanggil ibu saya. Rumah macam terangkat sehingga menerbangkan bumbung rumah dan bergegar. Kejadian hanya berlaku 15 hingga 20 minit saja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk Ismail Abu, 48, dari Lorong Intan berkata, ketika kejadian dia bersama 12 penghuni termasuk lapan kanak-kanak pengasuhnya berumur antara lapan bulan hingga empat tahun di dalam rumah.
“Sebaik dengar bunyi dentuman, hati rasa tidak sedap dan terus saya selamatkan dulu kanak-kanak yang berada dengan saya. Kejadian berlaku amat pantas sekitar 15 minit, tetapi memusnahkan banyak rumah,” jelasnya.
Sementara itu, seorang warga emas, Nurfaizah Atiqah Ismaon, 62, berkata, dia yang tinggal bersendirian menangis apabila melihat sendiri angin kencang membadai rumahnya sehingga menerbangkan bumbung rumah.
Tinjauan Kosmo! di kawasan terlibat di Jalan Masjid, Sekolah, Intan, Permata, Jalan Rahmat, Utama, Berkat, Mulia, Sehat, Bulatan dan Jalan Budiman mendapati banyak pokok tumbang serta kabel elektrik terputus dan menghempap rumah serta beberapa buah kenderaan. – KOSMO! ONLINE