fbpx

Kerajaan terus tambah baik kedudukan dalam Indeks Kebebasan Media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus melakukan usaha penambahbaikan bagi memperbaiki kedudukan lebih baik pada masa hadapan di sebalik peningkatan 40 anak tangga Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berdasarkan laporan dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF).

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Malaysia berada di tangga ke-73 indeks berkenaan berbanding tangga ke-133 tahun lalu iaitu jauh lebih baik daripada yang disangkakan.

“Kenaikan 40 anak tangga ini adalah satu perkara di luar jangkaan dan amat positif kepada negara dan pihak kerajaan.

“Tapi yang penting seperti yang saya sebut sebelum ini bagi laporan (Indeks Kebebasan Media Dunia) tahun 2022 adalah komitmen pihak kerajaan dan Perdana Menteri untuk menjamin kebebasan media serta suasana bagi wartawan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini tadi.

Dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2023, kedudukan Malaysia meningkat 40 anak tangga dengan mencatat 62.83 mata berbanding tahun sebelumnya pada kedudukan 113 dengan 51.55 mata.

Malaysia turut menduduki kedudukan tertinggi di ASEAN, diikuti Thailand di kedudukan ke-106, Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178).

Pada masa sama, Fahmi berkata, kerajaan kini sedang meneliti Rang Undang-Undang (RUU) baharu termasuk penubuhan Majlis Media dalam usaha memastikan kebebasan dapat dinikmati oleh golongan berkenaan.

Katanya, proses ke arah itu dalam peringkat perbincangan dan sedang berjalan.

“Pada masa sama perbincangan dengan organisasi media termasuk syarikat serta badan wartawan juga diharap dapat diteruskan menuju Hari Wartawan Nasional (Hawana).

“Ia bagi memastikan perkara asas atau isu dihadapi rakan media dapat kita atasi dan tangani dengan mampan termasuk isu ekonomi, kerjasama, aspek etika kewartawanan dan sebagainya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI