fbpx

Jangan malu beri duit raya sedikit jika tak mampu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR SYARIZA MUHD. TAHIR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SETIAP masyarakat, kaum atau negara mempunyai tradisi dan budaya tersendiri ketika me­nyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ada yang menyambutnya de­ngan berkumpul dalam keluarga besar seperti di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), mengadakan festival makanan dan memberikan manisan kepada kanak-kanak seperti di Turkiye serta pa­ling popular di Malaysia dan Indonesia adalah pemberian duit raya.

Tradisi memberi duit raya secara asasnya dilakukan sebagai satu bentuk sedekah kepada kanak-kanak, saudara-mara atau yang lebih penting kepada golo­ngan fakir miskin bagi memberi peluang kepada mereka untuk turut sama merasai kegembiraan menyambut hari lebaran.

Bagaimanapun, seiring arus pemodenan, pemberian duit raya turut berevolusi dari segi jumlah sumbangan dan kaedah digunakan.

Jika dahulu ketika zaman penulis masih kecil, menerima duit syiling sebagai duit raya sesuatu yang biasa, malah tetap berasa seronok apabila melihat ‘beg ta­ngan raya’ jadi berat.

Ketika itu, jika mendapat duit raya sebanyak RM2 dalam bentuk wang kertas, sudah dianggap mewah.

Namun kini, semakin maju kehidupan masyarakat, jumlah duit raya yang diberikan turut me­ningkat sehinggakan jika ada yang memberi wang sebanyak RM2, mereka dianggap kedekut.

Enggan dipandang rendah oleh saudara-mara dan rakan, terdapat segelintir orang yang memasukkan wang kertas RM10 dalam sampul raya, RM20 atau sekurang-kurangnya RM5 adalah jumlah dianggap paling minima.

Tidak mengejutkan apabila ada yang memperuntukkan sehingga lebih RM1,000 untuk pemberian duit raya.

Apa yang menjadikan tindakan itu sebagai sesuatu yang tidak sihat adalah golongan ini terpaksa mengikat perut selepas cuti raya kerana terlalu ba­nyak wang dihabiskan ke atas duit raya dan perbelanjaan kelengkapan sehinggakan ada yang tinggal hanya RM100 dalam akaun bank sebelum gaji seterusnya tiba.

Menurut Pakar Kerja Sosial, Pusat Kajian Psikologi dan Ke­sejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad, pemberian duit raya sepatutnya mengikut kemam­puan pemberi dan jangan sampai ada yang berasa tertekan untuk memberi duit raya hanya kerana mahu menunjuk-nunjuk.

“Ini bertentangan dengan ajaran Islam yang mengalakkan sedekah mengikut kemampuan. Sekiranya terpaksa mengikat perut kerana ingin memberi duit raya’, ia sudah salah dari sudut prinsip pemberian sedekah.

“Keadaan ini bahkan boleh menyebabkan dua kesan negatif iaitu timbul perasaan riak dan menunjuk-nunjuk serta menjadi beban kewangan tambahan sehingga boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang,” ujarnya.

Tambah Mohd. Suhaimi, budaya memberi duit raya sepatutnya menjadi satu bentuk aktiviti sedekah yang boleh menggembirakan orang lain dan digalakkan di hari perayaan kerana ia merapatkan silaturahim.

“Namun, apabila budaya ini dijadikan satu kemestian, ia boleh mendatangkan tekanan kepada pemberi dan niat bersedekah yang sepatutnya ikhlas bertukar menjadi beban,” ujarnya.

Didik diri sendiri dan anak-anak supaya jangan menghakimi seseorang yang memberi duit raya sekecil-kecil RM1 atau sebesar-besar RM100, kerana kita tidak tahu mungkin orang itu hanya ada RM50 dalam akaun bank untuk digunakan hingga gaji seterusnya tiba.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI