SUNGAI SIPUT – Kira-kira 5,000 penduduk di beberapa buah kampung di sekitar Karai di sini terjejas apabila jambatan yang menjadi penghubung utama mereka runtuh akibat arus deras Sungai Enggor semalam.
Penduduk, Rafli Md. Noor, 50, berkata, kejadian pada pukul 11.40 malam itu berlaku berikutan hujan lebat berterusan pada sebelah petang sehingga menyebabkan paras air sungai naik mendadak.
Katanya, arus sungai yang deras telah mengakibatkan hakisan dan tanah rebak sebelum struktur jambatan tersebut retak dan runtuh.
Bagaimanapun katanya, insiden itu tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa.
“Mula-mula runtuhan berlaku di sebelah kiri iaitu jalan menghala ke Karai, namun tidak lama selepas itu ia merebak pula ke bahagian kanan jambatan akibat tanah jerlus dan runtuhan itu menyebabkan jambatan sepanjang 13 meter ini terpaksa ditutup kepada kenderaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini
Jelasnya, kejadian jambatan runtuh itu adalah yang ketiga berlaku sepanjang dia tinggal di sana sekali gus menyifatkan jambatan itu wajar dibina baharu ekoran keadaan yang uzur.
“Jambatan ini sudah terlalu uzur, ia pun sudah lama dibina sejak tahun 1900 atau lebih kurang sama tempohnya dengan Jambatan Victoria.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Ahmad Qarib Khairuddin, 54, berkata, laluan alternatif jalan kampung disediakan untuk komuniti setempat, namun hanya untuk kegunaan motosikal disebabkan laluan yang sempit.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan berkata, laluan jambatan itu akan ditutup selama lapan bulan untuk kerja-kerja pembaikan dijalankan. – KOSMO! ONLINE