MELAKA – Dua beranak parah selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Batang Tiga, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa Siti Aminah Ismail, 49, kini diintubasi di Hospital Melaka, manakala anaknya, Muhammad Iliya Ilias, 5, patah tulang kening dan mengalami pendarahan dalam otak.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menaiki kereta jenis Nissan Almera bersama seorang lagi anaknya berusia 16 tahun dalam perjalanan dari arah Batang Tiga menghala ke Bukit Rambai.
Katanya, setiba di lokasi kereta dipandu wanita terbabit telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.
“Kereta dinaiki tiga beranak itu telah merempuh sebuah lori menyebabkan kenderaan berat tersebut terbabas ke kiri jalan.
“Kereta Almera berkenaan kemudian telah berpusing dan dirempuh sebuah lagi Naza Citra di belakang lori tersebut yang tidak sempat mengelak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ujarnya, akibat kemalangan itu, wanita terbabit telah tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba.
“Wanita terbabit serta anak lelakinya berusia lima tahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital, manakala seorang lagi anaknya luka di bahagian muka serta patah gigi.
“Pemandu dan penumpang Naza Citra pula hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian badan,” katanya.
Christopher berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE