SHAH ALAM – Seorang lelaki yang dipercayai memalsukan dokumen bagi pemindahan pemilikan tanah orang yang telah mati direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes tersebut.
Perintah reman bermula hari ini terhadap suspek berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Menurut sumber, suspek yang bekerja sendiri itu melakukan pemindahan itu hasil persubahatannya dengan seorang pegawai sebuah jabatan kerajaan di sebuah daerah di negeri ini.
Katanya, tanah yang berkeluasan 0.7 hektar itu adalah kepunyaan seorang lelaki yang telah meninggal dunia pada tahun 2003.
“Kegiatan suspek yang dilakukan pada tahun lalu itu terbongkar selepas waris pemilik tanah itu mengesahkan penama yang merupakan bapanya telah pun meninggal dunia.
“Tanah tersebut juga tidak pernah dipindah milik kepada mana-mana pihak selepas kematian,” katanya hari ini.
Tambah sumber, suspek yang tidak mempunyai hubungan dengan pemilik asal tanah telah memindah milik tanah itu kepada orang lain dengan bantuan seorang pegawai sebuah jabatan kerajaan.
“Suspek terdahulu ditahan kira-kira pukul 1.55 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.
“Siasatan lanjut masih dijalankan terhadap suspek dari komisen diperoleh hasil pemindahan milik itu selain sekiranya terdapat sindiket terlibat dalam kes ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE