fbpx

Ceria beraya dengan buah pinggang baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUAH pinggang yang diderma Nor Fatin (kiri) membolehkan suaminya, Mohd. Reezza menjalani kehidupan lebih ceria dan sihat bersama dua anak mereka.

SHAH ALAM – Sambutan Aidilfitri kali ini lebih bermakna buat seorang pemuda apabila ‘beraya’ dengan buah pinggang yang didermakan ibunya selepas lima tahun menderita penyakit itu.

Lebih menyentuh perasaan Muhammad Faqih Saiful, 23, apabila buah pinggang itu diterima daripada ibunya, Maizatul Akma Osman, 43.

Kata Muhammad Faqih, sa­kitnya itu mula dikesan apabila dua kakinya bengkak air dari lutut ke bawah secara tiba-tiba sehingga menyukarkan pergerakan ketika bekerja di sebuah kedai gajet di Lembah Klang.

“Keadaan kesihatan saya merosot apabila demam tidak kebah selama dua minggu sebelum membuat pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan kerajaan.

“Selepas tiga hari, keputusan keluar dan saya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur. Memang terkejut apabila diagnosis mempunyai sindrom nefrotik adalah salah satu penyakit buah pinggang.

“Masa itu umur baru 18 tahun selain baharu empat bulan habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Memang takut kerana sebelum ini sihat sahaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Muhammad Faqih (kiri) bersama ibunya, Maizatul Akma sebelum menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang di sebuah hospital baru-baru ini.

Tambah anak sulung daripada dua beradik itu, dia dibekalkan pelbagai jenis ubat dalam tempoh pemulihan selama lima tahun sebelum dikatakan tidak berkesan lagi kepada sebarang ubat termasuk jenis steroid.

Jelasnya, dia pada awalnya tidak mengetahui bahawa ibunya yang bekerja sebagai jururawat adalah penderma organ itu sehingga memasuki dewan bedah.

“Besar betul kasih sayang dan pengorbanan ibu. Sudah tentunya, saya tidak akan mempersia-siakan ‘hadiah’ ini.

Sementara itu, kasih seorang isteri, Nor Fatin Diana Abdul Karim, 28, mendorongnya berkongsi buah pinggang dengan suami, Mohd. Reezza Nordin, 33, yang terpaksa menjalani dialisis selama setahun sebelum ini.

Katanya, suami telah menga­lami buah pinggang kronik sejak kecil lagi dan telah menerima buah pinggang ibu kandungnya pada usia 12 tahun.

“Namun, doktor memaklumkan bacaan buah pinggangnya telah teruk dan memerlukan organ baharu. Transplan antara saya dan dia dilakukan pada 10 Februari lalu. Syukur suami tidak perlu lagi jalani dialisis hanya pemeriksaan berkala,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI