PETALING JAYA – Gara-gara merakamkan gambar dengan bintang filem Wonder Woman, Gal Gadot dalam sebuah majlis di New York, baru-baru ini, Instagram (IG) Zahirah Macwilson teruk ‘diserang’ netizen.
Pengikut laman sosial kecewa apabila aktres itu didakwa tidak sensitif terhadap isu Palestin apabila mengabadikan kenangan dengan Gadot selaku selebriti keturunan Yahudi yang didakwa secara terangan berpihak kepada rejim Zionis.
Dalam kapsyennya, isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza itu menyatakan rasa bangga dapat bersama beberapa jelitawan meraikan pembukaan premis ikonik sebuah jenama antarabangsa di New York.
Sebelum ini pengguna Twitter mendakwa Gadot menyokong pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan rejim terbabit menerusi sokongan ditunjukkan dalam laman maya.
Malah dia juga pernah berkhidmat sebagai anggota tentera dalam Israel Defense Forces (IDF) selama dua tahun.
“Bagaimana perasaan anda apabila pembunuh yang membunuh adik-beradik dan anda semua orang berbangga dan bergambar dengan pembunuh itu? Tanya hati, tanya iman,” tulis netizen.
“Bangganya bergambar dengan orang yang tidak berhati perut, membunuh saudara seislam kita. Allahuakbar,” luah seorang pengikutnya.
“Bebaskan Palestin. Tolonglah, jangan Gal Gadot,” tambah pengguna media sosial yang lain.
Sebelum ini Lubnan secara rasmi mengharamkan Wonder Woman disebabkan pembabitan Gadot yang diangkat sebagai bintang utama filem tersebut.
Tindakan itu adalah susulan sokongan terbuka aktres berusia 38 tahun itu terhadap Zionis menerusi perkongsian hantaran di Facebook atas kebenciannya terhadap kepada gerakan Hamas.
Status ditulisnya ketika perang di Gaza pada tahun 2014 itu telah mengakibatkan 551 kanak-kanak dan 299 wanita terbunuh (1,462 orang awam terbunuh).
Manakala satu pertiga daripada 3,436 kanak-kanak yang cedera mengalami kecacatan kekal, malah sehingga ke hari ini, lebig 300,000 mangsa dalam kalangan anak kecil itu memerlukan sokongan mental dan psikososial akibat trauma.
Sebagai tambahan, impak bedilan tentera rejim zionis, lebih 142,000 kediaman musnah dan mengalami kerosakan yang menyebabkan ratusan ribu penduduk Gaza tidak mempunyai tempat tinggal.
“Kenapa bergambar dengan seorang zionis? Ya Allah. Saya berhenti menyokong dia sejak saya tahu bahawa dia adalah seorang daripada mereka (zionis),” tulis seorang netizen. – KOSMO! ONLINE