PETALING JAYA – Cuaca panas yang terlampau khususnya pada waktu tengah hari ketika ini mendorong kebanyakan ibu bapa memastikan anak-anak mereka membawa bekalan air yang secukupnya ke sekolah.
Tinjauan Kosmo! pada hari pertama sesi persekolahan semalam mendapati, rata-rata murid dan pelajar memilih untuk membawa botol air pelbagai bentuk dan saiz termasuk yang membawa lebih daripada satu bekas minuman.
Malah pihak pentadbiran sekolah turut memberi peringatan kepada ibu bapa untuk membekalkan anak masing-masing memandangkan cuaca panas melanda negara ketika ini.
Di Pulau Pinang, seorang bapa, Asruldin Abdul Hamid, 41, berkata, selain memastikan botol air dibawa ke sekolah, dia turut berpesan kepada anaknya yang berumur tujuh tahun untuk tidak terlalu aktif bagi mengelakkan berlakunya dehidrasi.
“Saya selalu pesan pada anak supaya kerap minum air masak dan kurang berlari dan bermain dengan rakan-rakan.
“Selain itu, saya turut membekalkan tisu basah dan minta mereka gunakan tisu itu untuk mengelap muka dan tangan jika masih terasa panas,” katanya.
Seorang suri rumah dikenali Hasniza, 24, memberitahu, keutamaannya ketika ini adalah memastikan tahap kesihatan dan keselamatan anak-anaknya di sekolah terjamin memandangkan cuaca boleh bertukar menjadi terlalu panas pada waktu tengah hari atau awal petang.
“Sebagai ibu bapa, kita kena lebih bersedia dalam hal ini kerana guru-guru tidak mempunyai masa untuk memantau semua murid berbeza dengan taska atau tabika,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi waris, Aina Ahmad, 39, berkata, dia membekalkan anaknya dengan dua bekas minuman masing-masing bersaiz satu liter ke sekolah.
“Dalam kelas hanya ada kipas. Cuaca panas memang terasa bahangnya meskipun berada di bawah bumbung. Saya bekalkannya anak dengan bekas minuman yang besar, cukup sampai habis waktu sekolah nanti,” jelasnya.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, Mohd. Hanek Hamzah, 38, menghargai budi bicara pengurusan sekolah yang membenarkan pelajar memakai pakaian sukan sebagai inisiatif mengurangkan risiko strok haba dalam kalangan kanak-kanak.
“Saya harap tindakan membenarkan anak-anak memakai baju sukan bukan sehari dua, biarlah sehingga cuaca panas terik kembali reda. Pakaian seragam agak tebal menyebabkan mereka mudah berpeluh dan kurang selesa belajar,” ujarnya.
Tambahnya, dia juga membekalkan dua anaknya masing-masing seliter air kosong dan meminta mereka menghabiskannya sebelum tamat waktu sekolah.
Di Jempol, Negeri Sembilan, seorang suri rumah, sanggup berbelanja lebih sejak hampir sebulan lalu bagi memastikan ketiga-tiga anaknya berusia antara tiga hingga enam tahun tidak dehidrasi berikutan daerah ini mencatatkan status cuaca panas tahap satu sejak 12 April lalu.
P. Thanaletcumy, 24, berkata, setiap hari dia akan menggunakan dua bungkusan kecil barli untuk dimasak dan dibekalkan pada anak-anaknya bagi menyejukkan badan.
“Satu bungkusan kecil berharga RM1.20. Setiap hari saya guna dua bungkus dan perbelanjaan untuk barli ini sahaja mencecah lebih RM70 sebulan.
“Malah, setiap dari kami mempunyai botol air masing-masing untuk dibawa ke mana-mana dan diminum pada bila-bila masa. Selain itu, saya juga akan mengelap badan mereka dengan tuala panas jika cuaca terlampau panas,” katanya ketika ditemui di Taman Mahsan, di sini semalam.