PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengadakan lawatan khas ke London, Britain bermula hari ini bagi menghadiri upacara pertabalan Raja Charles III.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, lawatan bermula hari ini hingga 14 Mei depan itu turut disertai Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Baginda berdua dijemput hadir oleh Raja Charles III bagi menghadiri upacara pertabalan pemerintah United Kingdom di Westminster Abbey pada Sabtu ini.
“Baginda berdua juga berkenan untuk menghadiri Majlis Resepsi yang dihoskan Baginda Raja Charles III di Istana Buckingham. Lawatan khas itu juga amat signifikan dalam konteks penyatuan hubungan sedia ada serta akrab yang dikongsi antara Malaysia dan Britain,” kata kenyataan itu hari ini.
Wisma Putra berkata, hubungan itu meliputi jalinan antara institusi diraja dua negara serta ikatan dalam Pertubuhan Komanwel yang disertai Malaysia sejak mencapai kemerdekaan.
Raja Charles III yang turut merupakan raja untuk 14 buah negara Komanwel lain menggantikan bondanya, Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 8 September 2022 lalu. – KOSMO! ONLINE