SHAH ALAM – Setelah hampir 47 tahun, penderma organ selepas kematian di negara ini hanya 811 individu berbanding jumlah individu menunggu kini yang mencecah 10,077 orang.
Jumlah itu dicatatkan sejak kempen derma organ dimulakan pada 1976 hingga Februari lalu seterusnya menimbulkan persoalan sama ada polisi opting in yang diamalkan sebelum ini perlu ditukar kepada dasar opting out seperti diamalkan di Singapura dan Sepanyol.
‘Opting in’ merujuk kepada polisi perlu memohon untuk menjadi penderma organ berbanding opting out pula memohon untuk tidak menjadi penderma organ dengan melengkapkan dokumen tertentu walaupun secara dasarnya menetapkan semua rakyat meninggal dunia secara automatik akan menjadi penderma organ, jika menepati kriteria.
Pengurus Klinikal Pendermaan Organ Kebangsaan Kanan, Dr. Hasdy Haron berkata, perdebatan mengenai polisi itu sememangnya berlaku dalam kalangan beberapa profesional kesihatan yang menyarankan opting out diguna pakai sebagai pendekatan komprehensif meningkatkan bilangan penderma organ.
Ujarnya, ini membolehkan organ diperoleh tanpa perlu mendapat kebenaran waris seperti diamalkan sekarang berdasarkan Akta Tisu Manusia 1974.
“Namun, kita kena lihat daripada pelbagai aspek. Walaupun Sepanyol mempunyai penderma organ paling tinggi di dunia berikutan mengamalkan opting-out, namun masih perlu meminta kebenaran waris.
“Apabila bercakap berkaitan pendermaan organ adalah turut melibatkan perasaan keluarga penderma. Kebenaran waris merupakan cabaran utama dalam pendermaan organ di Malaysia.
“Secara statistiknya, jumlah penderma organ selepas kematian di Malaysia sejak 1976 hingga Februari lalu adalah 811 individu dengan 591 adalah lelaki,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Kata beliau, polisi opting out yang diamalkan Singapura contohnya memperuntukkan undang-undang kepada individu yang menolak untuk menderma organ akan menyebabkan seseorang itu tidak diutamakan dalam senarai menunggu organ jika memerlukan pemindahan organ kelak.
Malah beliau yang merupakan Timbalan Pengarah Pusat Sumber Transplan Nasional secara peribadi memaklumkan polisi sebegitu boleh dilaksanakan sekiranya masyarakat negara ini memahami dengan baik mengenai kepentingan pemindahan organ.
Jumlah pengikrar derma organ di negara ini hampir 400,000 orang, namun dibandingkan dengan peratusan populasi penduduk dilihat masih jauh berbanding jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.
Berdasarkan data, kategori organ yang paling banyak diperlukan adalah buah pinggang dengan 9,819 penunggu dewasa serta 242 kanak-kanak.