fbpx

132 kes batuk kokol dengan dua kematian di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 132 kes Pertussis atau batuk kokol di negara ini setakat 28 April lalu dengan melibatkan dua kematian.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, jumlah itu menurun berbanding tempoh sama 2019 di mana mencatatkan sebanyak 495 kes.

“Daripada 132 kes dilaporkan, 89 kes (67.4%) adalah warganegara manakala 43 kes (32.6%) lagi merupakan bukan warganegara.

“Bayi berumur bawah 12 bulan adalah kumpulan umur yang mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 67 kes (50.8%).

“Kanak-kanak berumur di antara 1 tahun hingga hingga 10 tahun pula mencatatkan sebanyak 47 kes (35.6%), manakala selebihnya berumur 11 tahun dan ke atas,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Dr. Zaliha berkata, imunisasi merupakan langkah pencegahan pertusis berkesan dan vaksin diberikan kepada kanak-kanak secara rutin pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan.

“Wabak pertussis dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi pertussis sentiasa melebihi 95 peratus pada setiap masa.

“Berdasarkan situasi semasa, kebanyakan kes juga dalam kalangan bayi berumur kurang dari lima bulan yang belum mencapai tahap imuniti optima kerana masih belum lengkap tiga dos primer vaksin pertussis,” jelasnya.

Justeru, Dr. Zaliha berkata, KKm sedang meneliti keperluan pelaksanaan pemberian vaksin kombinasi Tetanus- Difteria-Pertussis (Tdap) kepada ibu hamil.

“Ibu hamil yang menerima vaksin pertussis ini dapat melindungi bayi bermula dari dalam kandungan sehingga bayi dapat melengkapkan dos primer vaksin kombinasi enam serangkai seperti Jadual Imunisasi Kebangsaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI