fbpx

Sindiket bomoh halau hantu masuk jerat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barangan yang dirampas daripada sindiket penipuan bomoh antarabangsa membabitkan mangsa warga emas di IPK Pulau Pinang. -Foto oleh SAFINA RAMLI / KOSMO!

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penipuan bomoh antarabangsa membabitkan mangsa di negeri ini menerusi penahanan lima suspek warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 April lalu.

Suspek dipercayai warganegara China terdiri empat wanita dan seorang lelaki itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang semasa mereka cuba melarikan diri ke negara berkenaan.

Kesemua suspek yang berusia 40 hingga 50 tahun itu memasuki negara ini secara sah menggunakan pas lawatan sosial selain pernah berada di Johor Bahru pada Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua ahli sindiket itu bergerak aktif sejak Januari lalu dengan menjalankan aktiviti memperdaya mangsa dalam urusan penjualan ubat penyakit kronik dan sembahyang bagi menghalau hantu yang kononnya berada di rumah mangsa.

“Kita menerima lima laporan daripada mangsa yang merupakan wanita warga emas berusia lingkungan 60-an.

“Sindiket ini akan bergerak awal pagi untuk mencari mangsa warga emas yang pergi ke pasar antaranya pasar di Jelutong, Chowrasta dan juga Bukit Mertajam untuk mencari mangsa mereka,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, ahli sindiket berkenaan akan menghampiri mangsa dan menawarkan ubat merawat penyakit kronik dan memberikan nombor telefon untuk urusan rawatan tersebut.

“Mangsa telah diyakinkan oleh ahli sindiket untuk menyerahkan wang dan barang kemas yang berada di dalam rumah mangsa di dalam bungkusan sebagai syarat untuk menjalankan upacara menghalau hantu, dan wang serta barang kemas ini akan diserahkan kembali setelah upacara selesai,” katanya.

Beliau memberitahu, penyerahan bungkusan kepada ahli sindiket tersebut dilakukan di kawasan berhampiran pasar dan mangsa akan diberikan bungkusan lain oleh ahli sindiket itu.

“Mangsa diberitahu bahawa mereka tidak boleh membuka bungkusan yang diberikan oleh sindiket kecuali selepas sampai ke rumah, malah ada mangsa diberitahu agar jangan membuka bungkusan sehingga seminggu atau sebulan.

“Apabila mangsa membuka bungkusan yang diberikan oleh sindiket tersebut didapati hanya mengandungi batu bata dan air mineral,” jelasnya kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek ditahan reman sehingga esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI