LONDON – Sebuah rumah mayat terbiar lengkap dengan bilik pengawetan menjadi rebutan pembida yang berminat membeli dan menjadikannya sebagai penginapan Airbnb bertema seram, lapor akhbar Daily Star.
Hartanah menyeramkan itu menarik minat ramai pembida dan akhirnya pada harga £137,000 (RM767,288), lebih dua kali ganda berbanding jangkaan firma lelongan, John Pye Auctions.
Meskipun pembeli telah diberitahu bahawa hartanah di Leek, Staffordshire tersebut memerlukan kerja membaik pulih sepenuhnya atau bahkan dirobohkan, bekas rumah mayat itu tetap menjadi rebutan.
Bangunan yang kali terakhir digunakan pada 20 tahun lalu untuk menguruskan mayat itu dilelong kepada seorang pembeli yang identitinya tidak didedahkan pada Khamis lalu.
Dengan meletakkan harga bidaan awal sebanyak £55,000 (RM308,035), sebilangan pembeli berkata, mereka mahu menukar bangunan tersebut menjadi penginapan Airbnb bertema seram.
Beberapa gambar bangunan itu menunjukkan binaan dalaman yang hampir runtuh beserta kayu reput dan dinding jubin kotor.
“Ia akan menjadi sebuah projek hebat untuk pembeli dan memiliki potensi besar.
“Kita memiliki pasaran meluas untuk bangunan bersejarah seperti ini yang mempunyai peminat tersendiri untuk bermalam di dalamnya,” kata juru lelong, Helen Bingley. – AGENSI