PETALING JAYA – Segelintir penumpang di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) meluahkan ketidakpuasan hati apabila terlepas menaiki bas semalam ekoran perlu beratur panjang untuk mendapatkan pas masuk (boarding pass) bagi tiket yang sudah dibeli secara dalam talian.
Berdasarkan video-video dimuat naik di media sosial memperlihatkan keadaan di TBS sesak semalam, malah ada yang mendakwa tidak banyak kaunter beroperasi ditambah cuti umum Hari Pekerja 1 Mei.
Salah seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Yellowsunblaze memuat naik video keadaan di TBS pada pukul 9 pagi.
“Punyalah ramai beratur hendak ambil pas masuk saja untuk tiket yang dibeli ‘online’ (dalam talian). Sudahnya, ramai terlepas bas. Kaunter tak banyak pun buka dah tahu musim perayaan.
“Yang beratur ini beli daripada ‘website’ pihak ketiga. Jadi kena beratur untuk dapatkan pas masuk. Laman web TBS awal-awal dah habis tiket,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengguna TikTok dikenali sebagai Mazni3535 pula memuat naik video mendakwa, ada penumpang terpaksa beratur satu atau dua jam selain ada yang perlu menukar ke kaunter lain.
“Kisahnya nak kena tukar dari tiket ‘online’ kepada tiket manual. Kaunter buka empat daripada lapan kaunter, orang lebih beratus yang beratur nak tukar tiket. Yang jadi masalahnya, ada yang beratur satu atau dua jam lepas itu kena tukar kaunter,” katanya.
Berikutan itu, pengguna laman sosial yang turut menggunakan pengangkutan awam bas di TBS meninggalkan pelbagai komen menceritakan pengalaman semalam.
“Saya pun salah seorang yang terlepas bas,” ujar mz.
“Sampai kaunter tiket ‘online’ pun kena beratur panjang. Memang sesak sampai ke malam,” ujar sue83.
“Beli saja daripada aplikasi TBS. Senang, tak perlu tukar tiket sebab ada kod bar atau pas masuk,” cadang natureal01 bagi mengelakkan pengguna berdepan masalah sama. – KOSMO! ONLINE