JOHOR BAHRU – Polis mengesan individu yang bertanggungjawab atas kehilangan 11 batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, Taman Istimewa, Pandan di sini yang didakwa dicuri.
Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, sehingga kini pihaknya masih mendapat petunjuk dalam mengesan dalang yang melakukan perbuatan tersebut.
Beliau berkata, setakat ini, anggota dan pegawainya telah melakukan pemeriksaan dan tangkapan ke atas penagih dadah di bandar raya dan di kawasan sekitar tanah perkuburan itu.
“Kita juga sudah membuat pemeriksaan ke atas pengusaha batu nisan di kawasan berhampiran, tetapi tiada petanda positif. Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sabtu lalu, akhbar melaporkan kehilangan 11 batu nisan di kubur yang dipercayai berlaku sejak seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Penggali kubur, Muhammad Izzul Hafiq Ramlan, 29, percaya kecurian batu nisan itu dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab atau penagih dadah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Jamaludin A. Hamid mengadakan lawatan dan tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Taman Istimewa pada Ahad lalu.
Katanya, JAINJ mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kes kecurian daripada terus berlaku.
Penjaga kubur iaitu lelaki berusia 62 tahun melaporkan kecurian batu nisan di Balai Polis Majidee. Kes disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 kanun sama.-KOSMO! ONLINE