SHAH ALAM – Sekumpulan enam pencuri cip elektronik bernilai RM1.5juta dalam sebuah gudang syarikat logistik kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini bukan sahaja kempunan menjual barangan itu malah dicekup polis baru-baru ini.
Kesemua mereka termasuk dua pekerja syarikat itu yang berusia 21 hingga 38 tahun itu ditangkap bermula 26 hingga 28 April selepas melakukan jenayah kira-kira pukul 4.30 pagi, 21 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian curi itu disedari pengurus gudang itu dengan lapan kotak besar berisi cip elektronik telah hilang sebelum dilaporan polis dibuat pada 22 April lalu.
Katanya, berdasarkan siasatan terdapat 42 kotak keseluruhannya yang akan dieksport ke Taiwan bagi pembuatan televisyen dan telefon bimbit serta barangan elektronik lain.
“Soal siasat juga mendapati kumpulan suspek tidak tahu apa barangan dan nilai sebenarnya dengan mereka beranggapan ia adalah barangan berharga kerana mempunyai kawalan keselamatan ketat semasa dihantar ke gudang itu.
“Apabila mereka mengetahui, ia bukan sesuatu yang mudah dijual di pasaran menyebabkan masih menyimpan dalam premis berhampiran,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Difahamkan kesemua kotak berisi cip elektronik itu tiba pada 20 April lalu dengan dua pekerja gudang yang terlibat itu adalah pemandu lori dan pekerja am yang telah bekerja kurang lima tahun.
Hussein menambah, pihaknya juga berjaya menemui semula lapan kotak barangan elektronik yang dicuri itu selain pemotong rantai dan kenderaan digunakan semasa jenayah berkenaan.
Kata beliau, soal siasat turut mendapati empat suspek lelaki mengakui terlibat dalam kes curi tersebut.
“Ini merupakan bukan satu sindiket disebabkan mereka tidak ada rangkaian bagi menjual barangan itu.
“Kesemua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE