KUANTAN – Jajaran pantai di negeri ini yang melibatkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin sememangnya telah lama menjadi tarikan kepada pengunjung dalam dan luar negara.
Antara pantai terkenal termasuk Pantai Teluk Cempedak dan Cherating di Kuantan, Pantai Sepat di Pekan dan Pantai Hiburan di Rompin.
Bagaimanapun, di sebalik keindahan pantai itu, ia menjadi ‘perangkap maut’ kepada pengunjung untuk mandi-manda ekoran keadaan struktur pantai terlalu cerun yang berisiko tinggi menyebabkan seseorang itu boleh terjatuh di kawasan dalam.
Tinjauan Kosmo! di Pantai Teluk Cempedak di sini mendapati, bendera merah di pasang di pantai yang bermakna larangan untuk mandi di pantai berkenaan.
Bendera merah dipasang di situ memandangkan kawasan pantai itu yang tidak landai dan berbahaya untuk aktiviti mandi-manda.
Meskipun bendera merah dinaikkan, namun terdapat individu dan remaja masih mandi-manda tanpa menghiraukan keselamatan masing-masing.
Seorang penduduk setempat, Zahiran Hamid, 48, mendakwa, kawasan Pantai Teluk Cempedak sememangnya sudah berubah dan amat berbahaya kerana pantai berkenaan bercerun.
“Nama pun teluk memang pantai itu berteluk, tetapi dahulu tidaklah seteruk sekarang kerana hampir semua kawasan bercerun dan semakin dalam.
“Dahulu masa zaman sekolah memang saya sering mandi di sini dan masih ada kawasan mendatar, tetapi sekarang sudah berubah dan amat berbahaya,” katanya.
Tinjauan di sekitar Pantai Tanjung Sepat di Pekan pula mendapati, segelintir pengunjung masih bermain di air meskipun ombak pada ketika itu agak besar.
Bagaimanapun, pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) dilihat melakukan pemantauan di kawasan berkenaan dalam memastikan keselamatan pengunjung.
jung.
Seorang penduduk yang juga sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Mohamad Zulkifli Ismail, 34, berkata, kawasan pantai di situ juga tidak semuanya mendatar dan ada kawasan tertentu bercerun.
“Kalau dilihat ada kawasan yang tidak berombak besar menyebabkan ramai mandi di kawasan ini, namun sebenarnya di sinilah paling berbahaya kerana kawasannya tidak mendatar dan bercerun.
“Ada beberapa tempat di pantai ini yang dikenal pasti bercerun dan kami sentiasa menasihatkan pengunjung supaya tidak mandi di kawasan ini,” ujarnya.
Sementara itu, pasukan penyelamat pantai, Juahari Abu bakar, 45, memberitahu, dia dan beberapa anggota akan melakukan pemantauan pada setiap hari khususnya melalui menara tinjau bagi memastikan keselamatan pengunjung.
Ujarnya, kebiasaannya penduduk setempat tidak mandi sekiranya ombak besar dan hanya pengunjung luar sahaja yang mandi tanpa memikirkan risiko keselamatan masing-masing.
“Kami hanya boleh menasihatkan mereka tetapi jika mereka terus mandi juga kami tidak ada kuasa untuk menghalang,” ujarnya.