fbpx

Status tuntutan harta sepencarian balu Jamaludin Jarjis esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kalsom (tengah). Foto oleh SHIDIQQIEN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan esok bagi status tuntutan harta sepencarian RM2 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr. Kalsom Ismail, terhadap empat anak dan ibu mentuanya.

Hakim Syarie Abdul Shukor Abd. Hamid menetapkan esok bagi prosiding seterusnya selepas membenarkan permohonan peguam syarie, Nor Husniah Husin yang mewakili Dr. Kalsom selaku plaintif untuk kes itu ditangguhkan.

Ini kerana menurut peguam syarie itu, peguam syarie utama Datuk Sulaiman Abdullah yang mengendalikan kes tidak dapat hadir kerana ke satu mesyuasat di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di Putrajaya.

“Pada 18 April lalu, kami ada menulis surat kepada mahkamah untuk tangguh kes hari ini kerana peguam (Sulaiman) terpaksa hadir mesyuarat di Putrajaya. Kami percaya orang yang terbaik untuk mahkamah mendapatkan pengesahan status penyelesaian adalah daripada Datuk Sulaiman,” katanya.

Sementara itu, peguam syarie, Nur Hidayah A.Bakar, yang mewakili ibu Jamaludin, Aminah Abdullah, 89, selaku defendan ketika ditemui mengesahkan mahkamah menetapkan esok bagi prosiding status penyelesaian itu.

“Peguam plaintif mohon prosiding hari ini ditangguhkan berikutan peguam utama mereka Datuk Sulaiman Abdullah tidak dapat hadir hari ini kerana menghadiri mesyuarat JKSM di Putrajaya.

“Puan Sri Kalsom (plaintif) bertegas memohon supaya Datuk Sulaiman memaklumkan mengenai status perbincangan itu. Mahkamah membenarkan permohonan plaintif itu dan meminta pihak-pihak hadir ke mahkamah 2.30 petang esok,” kata Nor Hidayah.

Prosiding hari ini yang berlangsung secara tertutup dan hanya dihadiri keluarga plaintif dan defendan.

Kalsom, 67, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya Aminah sebagai defendan.

Pada 28 Ogos lalu, mahkamah itu membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.

Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI