fbpx

Mahkamah: Keputusan PRU15 Masjid Tanah, Kemaman dicabar melalui bicara penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan Barisan Nasional (BN) dan seorang pengundi mencabar kemenangan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah dan Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melalui perbicaraan penuh.

Pada PRU15 lalu, kerusi Parlimen Masjid Tanah dimenangi oleh Mas Ermieyati Samsuddin manakala kerusi Kemaman dimenangi Che Alias Hamid. Kedua-duanya daripada PN.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Abdul Hakim Abdul Wahid iaitu calon BN dan pengundi Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Mahkamah berpuas hati agar merit petisyen pilihan raya itu didengar kerana terdapat isu yang perlu diteliti dan diputuskan melalui perbicaraan penuh.

Ketua Hakim Negara turut memerintahkan kedua-dua petisyen pilihan raya tersebut didengar di hadapan hakim pilihan raya baharu.

Panel berkenaan menetapkan pengurusan kes bagi Masjid Tanah pada 5 Mei manakala Kemaman pada 8 Mei ini.

Abdul Hakim Abdul Wahid yang tewas kepada Mas Ermieyati mencabar kemenangannya dengan mendakwa terdapat unsur-unsur rasuah semasa kempen pilihan raya yang menjejaskan keputusan pilihan raya.

Sementara itu, Wan Mohamad Hisham memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Che Alias, dengan mendakwa Ahli Parlimen itu atau ejennya telah melakukan rasuah.

Awal tahun ini, Mahkamah Pilihan Raya di Melaka dan Terengganu membatalkan petisyen terhadap Mas Ermieyati dan Che Alias selepas membenarkan bantahan awal kedua-duanya atas alasan petisyen itu cacat.

Berikutan itu, Abdul Hakim dan Hisham memfailkan rayuan untuk mengembalikan semula petisyen tersebut.

Kerusi Masjid Tanah dimenangi Mas Ermieyati mengalahkan tiga calon lain dengan kelebihan 4,411 undi, manakala Che Alias Hamid mengekalkan kerusi Kemaman dengan majoriti 27,179 undi. Mas Ermieyati merupakan calon Bersatu dan Che Alias dari Pas.

Abdul Hakim dan Hisham diwakili peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun. Peguam Yusfarizal Yusoff dan Wan Rohimi Wan Daud masing-masing mewakili Mas Ermieyati dan Che Alias. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI