fbpx

Lima teras pacu Tentera Darat kekal cemerlang – Mohammad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad ketika berucap sempena Perbarisan Perutusan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-29 di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR- Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman menggariskan lima teras utama bagi memastikan pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) terus kekal cemerlang dalam menjaga keselamatan negara.

Mohammad yang merupakan Panglima Tentera Darat ke-29 berkata, teras itu adalah peningkatan kesiagaan, pengukuhan organisasi dan modal insan, kesejahteraan warga, pengukuhan hubungan antarabangsa serta keutuhan hubungan tentera dan awam.

“Mengenai peningkatan kesiapsiagaan, fokus utama yang perlu diberi perhatian sewajarnya agar misi yang dipertanggungjawabkan terlaksana dengan sempurna.

“Bagi pengukuhan organisasi dan modal insan, organisasi yang utuh serta modal insan yang cemerlang adalah pendukung utama kredibiliti TDM yang menghasilkan tadbir urus yang telus dan berkesan,” katanya.

Beliau berucap pada pada Perbarisan Perutusan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-29 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Mohammad berkata, menerusi teras ketiga, kebajikan warga TDM merupakan keutamaan yang akan diteruskan bertepatan tema Tentera Darat Ke-89 iaitu penumpuan kesejahteraan warga selari hasrat kerajaan melalui konsep didukung Kerajaan Madani.

“Hubungan erat di peringkat serantau dan antarabangsa adalah mustahak bagi memperkasa komitmen TDM dalam melindungi kepentingan negara daripada ancaman luar.

“TDM juga mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan berkesan,” ujarnya.

Tambahnya, dalam mencapai teras tersebut, beliau akui terdapat cabaran perlu dihadapi TDM dan perlu berganding bahu untuk dihadapi secara bersama.

“Cabaran paling utama adalah dari segi persekitaran geopolitik serta ekonomi yang tidak menentu dan spektrum ancaman luas yang memerlukan TDM sentiasa bersedia.

“Namun, ia bukan penghalang kepada pasukan TDM untuk merealisasikan tugas dan tanggungjawab dalam menjaga kedaulatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohammad turut menekankan tiga objektif utama iaitu kesiapsiagaan, kemampanan organisasi dan sahsiah keperwiraan yang ingin dicapai melalui Sinergi 3M ‘Man, Machine and Method’.

“Justeru, hasrat dan tumpuan utama saya adalah untuk mengembleng segala usaha terhadap pembentukan serta pembangunan Tentera Darat yang kredibel melalui tiga objektif tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI