SEOUL – Seorang pelajar seni di Korea Selatan memakan sebiji pisang yang merupakan karya artis seni Itali, Maurizio Cattelan kerana lapar, lapor akhbar The Guardian semalam.
Noh Huyn-soo dirakam dengan berani mengambil pisang yang dilekatkan pada dinding Muzium Seni Leeum di Seoul.
Dia mengupas kulit pisang tersebut dan memakannya di hadapan penonton sebelum melekatkan semula kulit pada dinding dan berjalan pergi sambil tersenyum puas.
Kejadian itu dirakam oleh seorang rakan Huyn-soon yang merupakan pelajar Universiti Kebangsaan Seoul.
Apabila disoal pihak muzium, Huyn-soo berkata, dia makan pisang itu kerana berasa lapar selepas terlewat makan sarapan pagi, demikian menurut akhbar Korea Herald.
Huyn-soo memberitahu stesen televisyen KBS bahawa tindakannya ‘memakan karya seni moden juga juga adalah karya seni’ manakala idea menampal semula kulit pisang itu hanyalah ‘gurauan’.
“Saya fikir ini akan menjadi menarik. Bukankah ia (pisang) ditampal di sana untuk dimakan?,” tambahnya.
Pisang yang menjadi sebahagian daripada karya seni Cattelan itu akan diganti selang dua atau tiga hari.
Cattelan kemudian memberikan maklum balas mengenai kejadian itu dengan berkata: “Tiada masalah.”
Ini bukan kali pertama pisang yang dilekatkan pada karya seni itu dimakan. Semasa pameran sulung karya itu di Miami Art Basel pada 2019, sebiji pisang tersebut telah dimakan oleh artis seni lain, David Datuna.
Edisi pertama dan kedua yang dipamerkan di Miami Art Basel dijual pada harga AS$120,000 (RM535,116) dan satu lagi dijual pada harga AS$150,000 (RM668,895) sebelum Datuna memakan buah itu. – Agensi