KLUANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia dipercayai mengalami simptom strok haba pagi semalam.
Mangsa, Airiel Syahren Syahrol disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi ketika menerima rawatan di di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
Menurut bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, anak keduanya daripada empat beradik itu disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis’.
Katanya, mangsa mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau hingga bercakap merapu seperti mahu mati kira-kira 10 malam Isnin lalu (30 April).
Ujarnya, pada mulanya murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lelaki Bandar Kluang itu termasuk adik lelakinya berusia sembilan tahun dan ibu mereka mengalami demam biasa serta sudah makan ubat.
“Saya kemudiannya kejutkan dia dan suruh dia tidur di luar (ruang tamu), mungkin di bilik itu sejuk sebelum mendengar seperti benda jatuh dan kemudian mendapati dia (Airie) menjadi kejung dengan badan mengerekot di ruang tamu.
“Keadaan itu buatkan saya panik dan terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan ambulans.
“Dalam tempoh itu, anak saya tetap meronta-ronta sampai terberak, terkencing seperti terlalu sakit malah simptom sama turut berlaku kepada adiknya namun hanya sekejap sahaja,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bentong di sini hari ini.
Menurut Syahrol lagi, pada pukul 7 pagi, dia mendapat panggilan daripada petugas HEBHK supaya membeli lampin pakai buang buat anaknya namun tidak lama kemudian dia mendapat panggilan kedua yang menyuruhnya segera datang ke wad.
“Ketika meninjau di tabir katil anak, saya terkejut apabila mendapati pihak doktor sedang memberikan rawatan kecemasan pada Airiel.
“Kemudian dua orang doktor memanggil saya ke bilik mereka dan menerangkan anak saya mengalami simptom strok haba hingga menyebabkan buah pinggang terjejas, X-ray dadanya berwarna putih selain terkena radang otak.
“Saya tak sanggup lagi nak melihat anak saya terseksa kerana mata putihnya sudah merah dan saya bercakap dalam hati saya izinkan anak saya ‘pergi’,” katanya.
Ujarnya, tidak menyangka anak yang disifatkan sebagai pendiam, suka tersenyum dan ringan tulang membantu keluarga itu, pergi terlalu cepat.
“Jangan ambil mudah jika anak-anak anda mengalami demam, jangan fikir lagi soal ada duit atau tidak, segera hantar mereka mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.
Katanya, anak ketiganya, Aidil Syahren, 9, kini sudah stabil dan masih berada di wad HEBHK.
“Anak saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong selepas Zohor,” katanya.-KOSMO! ONLINE