PETALING JAYA – Pelakon Jasmin Hamid meluahkan rasa kesal apabila ada sesetengah pihak yang menganggap dirinya sebagai seorang isteri queen control (terlalu mengawal suami).
Jasmin atau nama lengkapnya Jasmiah Abdul Hamid menegaskan, dia hidup bahagia melayari bahtera perkahwinan bersama suaminya, Nazmir Abdul Rahman dan apa yang dilakukannya lebih kepada menguruskan kehidupan bersama.
“Saya geram sebab ada yang kata suami saya umpama lembu dicucuk hidung, hidup di bawah telunjuk saya sehingga lupakan tanggungjawab sebagai anak lelaki.
“Alhamdulillah, saya masih bahagia dengan suami setakat ini walaupun ada yang tidak suka.
“Saya tidak pernah kawal suami. Cuma menguruskan kehidupan harian dan keperluannya. Urus dan kawal adalah dua perkara yang berbeza,” kongsinya menerusi Instagram.
Dalam pada itu, Jasmin tidak kisah menelan pahitnya tuduhan sebilangan orang asalkan dia dan suami tahu posisi mereka di mana sebenarnya.
“Semua yang busuk biar saya ambil, tidak mengapa. Yang penting Allah dan suami tahu apa saya lakukan untuk dia dan ibubapanya.
“Saya ingin suami saya jadi juara di dalam keluarganya. Berbakti kepada kedua orang tuanya hingga hujung nyawa dia,” jelasnya.
Pelakon filem Suamiku, Encik Perfect 10! itu memaklumkan, dia mendoakan yang baik-baik buat mereka yang bercakap buruk tentangnya dan suami tersayang.
“Lebih seronok, orang yang bercakap pasal tanggungjawab sendiri yang tidak menjalankan komitmen sebagai seorang anak lelaki.
“Awak ini umpama ketam ajar anak berjalanlah. Awak tidak tahu apa-apa berkenaan saya.
“Apa-apa pun saya tetap doa yang baik-baik untuk awak. Kejarlah dua pintu syurga yang ada dalam rumah awak sendiri sebelum terlambat. -KOSMO! ONLINE