fbpx

Ikut kemampuan, beraya jangan sampai pokai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
HARRITH HISHAM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BULAN Syawal sememangnya sinonim dengan aktiviti ziarah-menziarahi dan seringkali dipenuhi dengan jemputan rumah terbuka daripada keluarga dan rakan-rakan.

Hampir setiap minggu, ada sahaja rumah yang ingin dikunjungi, baik dekat mahupun jauh sehingga ada yang sanggup me­rentas negeri semata-mata ingin memenuhi undangan yang di­terima.

Biarpun ia hanya setahun sekali, namun segalanya memerlukan kos bukan sahaja kepada tuan rumah, malah untuk tetamu yang datang berkunjung.

Dengan harga barangan yang semakin meningkat, segala per­belanjaan dikhuatiri sedikit sebanyak memberi kesan besar kepada semua golongan di negara ini.

Ini tidak termasuk dengan pemberian duit raya kepada kanak-kanak yang merupakan tradisi sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia sejak berzaman.

Bagaimanapun, perkara itu boleh dilakukan dengan bajet yang minimum agar tidak membazir, sekali gus menyelamatkan ‘poket’ daripada terus pokai selepas hari raya.

Seperti kata perumpamaan, ‘ukur baju di badan sendiri’.

Ia sememangnya sangat tepat untuk dijadikan panduan ­berbelanja ketika menyambut hari raya.

Untuk rekod, kebanyakan masyarakat terutama penjawat awam telah menerima gaji awal bermula 14 April lalu bagi membuat persediaan menyambut kedatangan 1 Syawal.

Meskipun, gaji awal itu disifatkan membantu, tetapi ia perlu dikawal supaya perbelanjaan dan komitmen bulanan tidak terganggu selepas itu dan menjadikan poket kekeringan sebelum sempat menerima gaji berikutnya.

Jangan hanya kerana ingin beraya dalam suasana mewah, ke­perluan hidup utama digadaikan begitu sahaja.

Bagi seorang penjawat awam, Zainal Najmi Zainal Abidin, 33, beliau mengakui bahawa kemampuan untuk berhari raya pada tahun ini sedikit terbatas jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.

“Tahun ini sambut raya secara sederhana. Kelengkapan raya pun hanya beli yang perlu sahaja sebab tidak mahu melakukan pembaziran.

“Bulan Mei pun masih panjang dan selepas ini, banyak lagi perkara yang saya perlu uruskan,” kata­nya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dalam pada itu, seorang lagi penjawat awam, Wan Faiz Rosli, 29, berkata, dia juga hanya membuat persediaan ala kadar ekoran khuatir melakukan pembaziran ketika menyambut raya.

“Untuk tahun ini, saya memang berjimat, takut pokai selepas raya.

“Duit raya semua tukar sedikit sahaja, kira-kira RM200. Kuih raya pun banyak isteri yang buat sendiri.

“Jika orang datang rumah pun, kami sediakan masakan yang ringkas. Alhamdulillah, tiada pula yang kata kami kedekut,” ujarnya.

Justeru, individu dinasihatkan agar tidak memaksa diri untuk membuat rumah terbuka secara besar-besaran dan berilah duit raya ikut kemampuan.

Tidak perlu mengikut orang lain jika tidak mampu dan tidak salah untuk amalkan sikap bersederhana dalam meraikan pe­rayaan.

Hal ini kerana, masyarakat harus ingat bahawa kos kelangsungan hidup ketika ini semakin me­ningkat, keadaan ditambah pula dengan sesi persekolahan yang bakal bermula pada minggu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI