MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag gembira apabila pasukannya semakin mengukuhkan cengkaman dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menang tipis 1-0 ke atas Aston Villa di Old Trafford malam kelmarin.
Pengendali dari Belanda itu menganggap The Red Devils telah mengharungi minggu cemerlang selepas keputusan tersebut selain sudah memastikan tempat di perlawanan akhir Piala FA.
Pada perlawanan itu, United memastikan tiga mata menjadi milik mereka menerusi jaringan pemain tengah, Bruno Fernandes, sekali gus terus menghidupkan harapan untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.
“Secara jujur, tugas masih belum selesai buat United kerana ada beberapa perlawanan lagi perlu diharungi. Bagaimanapun, saya fikir saingan minggu ini adalah sesuatu yang menakjubkan untuk kami.
“Kami menentang sebuah pasukan yang cukup bagus pada separuh akhir Piala FA sebelum ini dan layak ke final. Kemudian, kami bermain menentang Tottenham sebelum bertemu Villa hari ini (kelmarin), tahniah kepada pemain,” kata Ten Hag.
Bekas jurulatih Ajax itu juga memuji aksi ditampilkan Fernandes apabila menyaksikan dia sudah menjaringkan gol ke-100 dalam saingan Liga Perdana meskipun sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan buku lali.
“Dia (Fernandes) seorang pemain yang sangat cekal. Beberapa minggu terdahulu, orang mempertikaikan mengenai tanggungjawabnya sebagai kapten selain berdepan kecederaan buku lali. kehadirannya dalam pasukan berikan semangat kepada pemain-pemain lain,” ujarnya.
– AGENSI