LONDON – Pengurus interim Chelsea, Frank Lampard memberi bayangan bakal merombak kesebelasan utama dengan memberi ruang buat Pierre Emerick-Aubameyang diturunkan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Arsenal awal pagi esok.
Menurut Lampard, penyudah tumpul anak-anak buahnya yang mencatat satu gol pada lima perlawanan terakhir membuatkan barisan kejurulatihan perlu mencongak sesuatu dan penyerang antarabangsa Gabon itu mungkin boleh menyelesaikan masalah tersebut.
Malah, Aubameyang pasti memiliki motivasi tersendiri memandangkan bakal menentang The Gunners yang juga bekas kelab diwakilinya dalam saingan EPL sebelum ini.
“Secara jujur, saya agak kecewa apabila jarang dapat menurunkan khidmat Aubameyang sebelum ini dan hanya dimasukkan sebagai pemain gantian. Namun, saya sangat menghormatinya sebagai salah seorang penyerang berpengaruh di dunia.
“Kita tidak dapat menggunakan khidmatnya ketika saingan Liga Juara-Juara bertemu Real Madrid sebelum ini kerana tidak didaftarkan. Bagaimanapun, dia dilihat tampil cemerlang sewaktu dimasukkan menentang Wolves dan Brentford.
“Jika dia berada pada prestasi terbaik, sudah pasti setiap peluang yang terhidang dapat disudahkan menjadi jaringan.
“Apa yang pasti, saya belum lagi membuat keputusan mengenai kesebelasan utama tetapi Aubameyang merupakan penyerang posisi No. 9 tunggal yang cergas ketika ini dan mungkin bakal diturunkan (bertemu Arsenal),” katanya.
Sementara itu, Lampard mengakui barisan pemain tidak mempunyai sebarang masalah dengan corak taktikal yang ditetapkan dan punca sebenar prestasi merudum adalah disebabkan hilang keyakinan.
“Selepas merekodkan lapan perlawanan tanpa sebarang kemenangan, sudah pastilah motivasi barisan pemain agak jatuh dan buat masa ini mereka kurang yakin di atas padang.
“Cuma, saya tidak mahu barisan pemain berputus asa kerana mereka mempunyai kualiti dan siapa sahaja yang mewakili kelab Chelsea, perlu berjuang sehingga ke penghujung musim,” katanya. – AGENSI