Busana berpotongan longgar bukan sahaja tampak elegan dan anggun tatkala digayakan, tetapi turut menjadikan pemakainya kekal selesa sepanjang hari, lebih-lebih lagi apabila menghadiri acara rumah terbuka Aidilfitri.
Justeru, label pakaian Muslimah, Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd. (SK) baru-baru ini melancarkan koleksi raya yang diberi nama Raya in Vogue buat penggemar busana sopan.
Bermula dengan penjualan telekung, jenama SK turut dipelbagaikan dengan aneka rangkaian produk termasuk pakaian untuk wanita dan lelaki.
Malah, selepas 14 tahun mengukuhkan nama di pasaran, taruhan koleksi baju raya untuk lelaki dan wanita menyemarakkan lagi persaingan antara pengeluar-pengeluar pakaian patuh syariah dalam negara.
Koleksi Raya In Vogue menampilkan lima baju kurung, satu baju Melayu dan juga jubah wanita yang turut diperagakan dalam pertunjukan fesyen berlangsung di ruang legar pusat beli-belah KL East Mall baru-baru ini.
Pengasas SK, Padzilah Enda Sulaiman berkata, koleksi tahun ini diserlahkan dengan gaya mewah, namun dalam masa sama masih mengekalkan konsep kesederhanaan dan menitikberatkan soal keselesaan kepada pemakai.
“Tahun sebelumnya, kami ada tampilkan rekaan bercirikan Nusantara, klasik dan sebagainya. Tahun ini kami tampilkan elemen yang lebih ‘classy’, namun mengekalkan ciri patuh syariah.
“Lima koleksi baju kurung ini kami namakan sebagai Nazrin Kurung Pesak, Azra Kurung Pesak, Alara Kurung Moden, Aylin Kurung Moden dan Zehra Kurung Pahang.
“Setiap koleksi didatangkan dengan lima pilihan warna.
“Bagi koleksi lelaki pula kami namakan Daud Baju Melayu yang juga didatangkan dengan lima pilihan warna. Selain itu, ada juga pilihan jubah, tudung sarung, bawal biasa dan satin,” katanya.
Dalam pada itu, Padzilah berkata, pihaknya juga enggan statik dan mahu terus mengembangkan jenama ini ke persada antarabangsa.
Hingga kini, jenama itu mempunyai 47 butik di seluruh Malaysia.
“Kami juga mempunyai dua buah butik di Indonesia. Seterusnya pula, kami bakal melebarkan sayap ke Singapura,” katanya.
Ditubuhkan pada tahun 2009 dengan satu hasrat, SK yang bermula sebagai jenama telekung berkualiti mahu memastikan wanita boleh memilih telekung yang lebih baik dan selesa menerusi inovasi, selain menambah baik pengalaman kaum Hawa ketika menunaikan solat.