fbpx

Bangunan 500 tahun diconteng nama, tarikh lawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHADAN menunjukkan kesan contengan nama individu dan tarikh dipercayai lawatan ke bangunan bersejarah Bukit Melaka itu, di Banda Melaka, hari ini. -Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Kerajaan negeri ini meluahkan rasa kesal dengan sikap pengunjung yang bertindak menconteng bangunan Bukit Melaka berusia 500 tahun semata-mata untuk membuktikan kehadiran mereka di lokasi pelancongan itu.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Akramuddin Abd. Aziz berkata, rata-rata kesan contengan itu memaparkan nama-nama individu dan tarikh dipercayai kedatangan mereka ke lokasi berkenaan.

“Apa yang kita amati pada hari ini, vandalisme itu memang berlaku dengan banyak kesan contengan nama individu dan tarikh dipercayai waktu lawatan mereka ke sini.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab ini disyaki dilakukan pada waktu lewat petang dan malam iaitu diluar masa pemantauan penguat kuasa,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Melaka, di sini, hari ini. Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Tambahnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mencemarkan pemandangan dan nilai sejarah bangunan tersebut, namun melibatkan proses pembersihan yang rumit kerana perlu mengikut kaedah konservasi dibenarkan.

Mengulas lanjut beliau berkata, susulan kejadian itu pihaknya akan mencadangkan beberapa kaedah penyelesaian bagi pengunjung merekodkan kehadiran mereka termasuk penjualan kunci istimewa seperti di Tembok Besar China.

“Kita akan memperketatkan lagi kawalan supaya vandalisme ini tidak terus berlaku dan saya juga mencadangkan kepada pihak pengurusan untuk gunakan kaedah kunci supaya pelancong dapat buktikan kedatangan mereka.

“Sejak tiga tahun lalu, hampir lapan kali kerja-kerja pembaikan dilakukan oleh MBMB di kawasan tumpuan pelancongan ini disebabkan aktiviti vandalisme,” ujarnya.

Akramuddin berkata, mana-mana individu yang dicekup melakukan vandalisme di kawasan warisan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 112(2) Akta 645 Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Katanya, sehingga 31 Mac lalu, jumlah kehadiran pelancong di kawasan-kawasan bersejarah di negeri ini adalah seramai 326,000 dengan jumlah pendapatan RM1.4 juta dan kutipan itu dijangka terus meningkat mencecah RM4.1 juta pada hujung tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI