PETALING JAYA – Plenitude Berhad (Plenitude) bakal melancarkan rumah contoh Ramlee Bukit Bintang pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang akan diadakan pada Sabtu ini.
Ramlee Bukit Bintang adalah projek perumahan banglo satu tingkat terbaru, milik
Plenitude di kawasan Bukit Bintang yang memiliki status pegangan bebas seluas 166 hektar di Sungai Petani, Kedah.
Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas Plenitude, Elsie Chua berkata, projek tersebut merangkumi tiga fasa yang mewakili sebanyak 96 unit keseluruhannya dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM 68 juta.
“Fasa satu dan fasa dua projek tersebut telahpun mencapai kadar penjualan sehingga 80 peratus,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Menurut beliau, Ramlee Bukit Bintang menawarkan sebanyak 96 unit banglo satu tingkat yang dibina di atas tanah tinggi dengan menawarkan pemandangan bukit yang menghijau serta suasana yang sangat nyaman.
Kawasan perumahan Ramlee Bukit Bintang direka dengan satu akses masuk dan keluar,
memastikan keselamatan dan privasi penduduknya.
Sistem kabel bawah tanah membekalkan tenaga kepada lampu jalan, mengurangkan kekacauan visual dan meningkatkan daya tarikan estetik kawasan sekitar. -KOSMO!ONLINE