MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) yang baharu menggantikan penyandang, Datuk Nur Azmi Ahmad berkuatkuasa serta merta.
Timbalan Presiden MAFA, Datuk Yusoff Mahadi berkata, keputusan sebulat suara itu diambil pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MAFA di Wisma MAFA di sini, pagi semalam.
Menurutnya, mengikut Perlembagaan MAFA pelantikan Ketua Menteri yang baharu secara automatik akan menyandang jawatan Presiden MAFA.
“Pihak Jawatankuasa Eksekutif mengucapkan setinggi tahniah kepada Ab. Rauf yang akan menerajui MAFA demi mengembalikan kegemilangan bola sepak Melaka.
“Semoga dengan sentuhan Ketua Menteri yang baharu dilantik akan terus membawa bola sepak Melaka ke tahap yang lebih membanggakan demi meletakkan pasukan gah dalam sukan nombor satu dunia ini pada masa hadapan.
“Pihak Jawatankuasa Eksekutif MAFA turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Nur Azmi yang memegang jawatan ini sejak Ogos tahun lalu, yang telah mencurah bakti kepada bola sepak Melaka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Yusof yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, Nur Azmi telah berjaya menubuhkan Kelab Bola Sepak Melaka FC yang kini bersaing dalam Liga M3, di samping menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Piala Tuan Yang Terutama (TYT) dan pembangunan akar umbi.
Jelasnya, segala jasa yang dicurahkan oleh bekas Presiden ketika menerima sokongan untuk memimpin persatuan itu berikutan pengunduran bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali ekoran kemelut Melaka United dan pihak pengurusan KenTeam pada saingan Liga Super musim lalu amat dihargai.
Skuad Sang Kancil ketika ini bersaing dalam Liga M3 selepas gagal menempatkan diri bagi saingan Liga Super ekoran pihak pengurusan Melaka United tidak menjelaskan tunggakan gaji, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).