SPRINGFIELD, ILLINOIS – Enam orang disahkan terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera selepas ribut debu membadai lebuh raya rentas negeri Interstate 55 di Illinois, lapor agensi berita United Press International (UPI) semalam.
Ribut debu itu menjejaskan jarak penglihatan pemandu dan menyebabkan 90 kenderaan berlanggar.
Laluan sepanjang 48 kilometer di lebuh raya kemudian ditutup selepas kemalangan itu dilaporkan pada pukul 10.55 pagi (waktu tempatan).
Anggota polis dan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian mendapati angin kencang dan debu di ruang udara menyebabkan jarak penglihatan hampir sifar, kata Polis Negeri Illinois sambil menambah, sebahagian laluan lebih raya itu ditutup sehingga petang semalam.
“Jarak penglihatan amat terhad akibat debu.
“Debu itu berasal daripada kotoran di ladang-ladang yang ditiup angin merentasi lebuh raya, menyebabkan jarak penglihatan menjadi sifar,” kata ketua polis Negeri Illinois, Mejar (polis) Ryan Starrick.
Lebih 30 orang dibawa ke hospital berdekatan, demikian menurut beberapa pegawai sambil menambah, kesemua mangsa mengalami kecederaan dalam kategori ringan hingga mengancam nyawa.
Kemalangan itu berlaku berhampiran kawasan milepost 76 di daerah Montgomery, dekat Divernon. Ia melibatkan 20 kenderaan komersial, antara 40 hingga 60 kenderaan penumpang dan dua treler yang separuh terbakar, kata polis. – Agensi