KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan pengguna kediaman untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh peningkatan titik panas dan jerebu ekoran cuaca kering ketika ini.
Menurut TNB, penggunaan elektrik mungkin meningkat akibat cuaca yang agak panas selain pengguna sedang berada dalam musim perayaan Hari Raya Aidilfitri
“Amalan penjimatan elektrik mudah dilakukan bermula dari ruang tamu dan luar rumah. Pengguna diingatkan supaya mematikan penyaman udara, kipas dan lampu di dalam bilik yang kosong, matikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai menggunakannya dan ketika cuaca panas terik, tutupkan tingkap dengan langsir yang tebal supaya haba tidak masuk.
“Seterusnya, tidak meninggalkan barangan elektrik di dalam mod sedia (standby mode), menggunakan lampu mentol LED yang tahan lebih lama serta lebih jimat tenaga, gosok pakaian dalam jumlah yang banyak pada suatu masa serta memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST),” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) di beberapa kawasan dengan cuaca berkenaan boleh mencecah di antara 35 hingga 37 darjah celcius.
Tambah TNB, bagi bilik tidur, pengguna disarankan menghidupkan kipas pada waktu malam bagi membantu peredaran udara di dalam bilik, tetapkan masa untuk pendingin hawa dimatikan disamping kerap menyelenggara pendingin hawa dan membersihkan penapis.
“Untuk ruang dapur, perlu elakkan daripada meletakkan peti sejuk di tempat yang panas seperti tempat yang terdedah kepada pancaran terus cahaya matahari atau berhampiran dengan dapur memasak dan susun barang-barang di dalam peti sejuk dengan sekurang-kurangnya dua pertiga kapasiti ruangan.
“Guna ketuhar gelombang mikro yang menggunakan tenaga yang rendah, tekan suis air panas hanya apabila ingin digunakan dan tutup sejurus selesai, elakkan suis alat pemanas air terbuka tanpa digunakan.
“Bagi mesin basuh, kumpul dan basuh pakaian dengan muatan penuh dan jemur pakaian dengan sinaran matahari berbanding menggunakan mesin pengering selepas mencuci pakaian,” katanya.
Sehubungan itu, bagi bilik air pula, pengguna perlu elakkan suis alat pemanas air terbuka tanpa digunakan atau mandi air sejuk tanpa menggunakan pemanas air.
Katanya, untuk memantau penggunaan elektrik secara langsung, pengguna juga digalakkan untuk memanfaatkan perkhidmatan meter pintar sekiranya sudah siap dipasang, sama ada dengan myTNB portal (www.mytnb.com.my) atau aplikasi myTNB.
“Sila layari www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks untuk
mengetahui maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.