KOTA TINGGI – Sebuah kapal tangki yang berdaftar dari Gabon, Afrika dilaporkan terbakar kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili di sini hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritim Malaysia (APMM) menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah menerima makluman kejadian itu pada pukul 4 petang tadi.
“Kapal tangki yang berdaftar dari Gabon, Afrika dilaporkan dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura bersama 28 orang kru kapal.
“Susulan itu operasi carilamat diaktifkan pada pukul 4 petang dan sebuah bot ronda Maritim Malaysia PETIR 12 telah diatur gerak ke lokasi kejadian dan berjaya menyelamatkan dua kru kapal tangki tersebut.
“Seramai 23 orang kru turut berjaya diselamatkan oleh dua buah kapal berhampiran lokasi kejadian manakala baki tiga lagi kru kapal dilaporkan masih hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan maklumat lanjut mengenai kru juga sedang diperolehi. – KOSMO! ONLINE