PETALING JAYA – Penghibur tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza kesal tindakan individu yang menyebar berita palsu mengenai kemunculannya sebagai penyanyi undangan di Program Majlis Terbuka Malaysia Madani di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Siti atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Tarudin, 44, berkata, pihak tidak bertanggungjawab itu telah membuat suntingan maklumat yang mengelirukan menggunakan akaun Facebooknya dengan niat menyebarkan fitnah.
“Siapalah yang pandai-pandai edit (sunting) berita palsu ini, gunakan Facebook saya (yang verified) dan sebarkan merata-rata.
“Yakinkan ini hantaran sebenar. Ini palsu! Cukuplah semua perkara nak buat macam ini,” katanya menerusi perkongsian di InstaStory malam tadi.
Penyanyi Purnama Merindu itu juga menegaskan kerjaya sebagai penyanyi memerlukannya menghiburkan semua orang tanpa sebarang syarat.
“Saya ini penyanyi, menghiburkan semua orang. Syawal adalah bulan jalinkan silaturahim, bukannya sebarkan berita-berita palsu,” luahnya lagi.
Menerusi hantaran lain dalam InstaStorynya, pelantun Cindai itu turut menegur portal hiburan tersebut kerana memuat naik kenyataan palsu tanpa mendapatkan pengesahannya terlebih dulu.
Maklumat tidak sahih itu kononnya merupakan kenyataan penghibur terbabit berhubung kemunculannya sebagai penyanyi undangan dalam sebuah persembahan di sebuah acara rumah terbuka di utara tanah air baru-baru ini.
Ini bukan kali pertama Siti terpalit dengan fitnah, sebelum ini nama dan gambarnya kerap disalah guna termasuk dalam promosi produk mahu pun perkhidmatan, selain didakwa membuat pelaburan tidak sah disisi undang-undang. – KOSMO! ONLINE