fbpx

RAS UiTM tanam 1,000 pokok bakau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA peserta yang terdiri daripada pelajar UiTM, GMI dan wakil rakan strategik giat menanam anak pokok bakau di kawasan berpaya.

KELESTARIAN alam sekitar merupakan salah satu aspek penting bagi kelangsungan kehidupan generasi akan datang.

Menyedari kepentingan tersebut, Rakan Alam Sekitar (RAS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Student Chapter telah menganjurkan program Penanaman Pokok Bakau 1 RAS 1 Pokok.

Menerusi program tersebut, 1,000 pokok bakau berjaya ditanam di tapak penanaman Hutan Simpan Kuala Bernam Sungai Apong, Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini.

Presiden RAS UiTM Student Chapter, Mohamad Shamsusyahir Shamsudin berkata, program penanaman pokok bakau itu merupakan sokongan kepada Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 di bawah Jabatan Alam Sekitar yang menjadi agenda nasional.

Menurutnya, program itu juga menyahut seruan pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 13,14 dan 15.

Jelasnya, ia merangkumi tindakan iklim, hidupan di atas air dan hidupan di atas darat seiring dengan Sustainability Road Map UiTM yang telah dirangka bagi melestarikan program-program anjuran UiTM di seluruh negara.

“Sempena Hari Bumi Negeri Selangor 2023, kami ingin membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penjagaan alam sekitar.

“Jadi, program ini melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat bagi pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi.

“Seramai 155 peserta menyertai program ini yang terdiri daripada pelajar UiTM, pelajar German-Malaysian Institute (GMI) serta wakil rakan kolaborasi.

“Pada program ini, kami berjaya menanam 1,000 anak pokok bakau.

“Kami juga mengumpul sisa buangan barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak seperti telefon bimbit,” katanya.

Sebahagian daripada 155 peserta yang menyertai program Penanaman Pokok Bakau 1 Ras 1 Pokok di Hutan Simpan Sungai Apong, Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini.

Katanya lagi, penanaman pokok bakau secara berkala merupakan satu inisiatif jitu untuk diimplementasikan.

Jelasnya, spesies flora tersebut tumbuh secara semula jadi di kawasan berpaya dan muara sungai yang menjadi tempat pertembungan air tawar serta air masin.

“Pokok bakau bukan sahaja bertindak sebagai agen mencegah hakisan tanah, malah menjadi habitat hidupan marin serta haiwan lain seperti monyet dan burung,” ujarnya.

Menariknya, RAS UiTM Student Chapter dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor mengambil serius usaha melestarikan alam sekitar melalui pendedahan serta kesedaran kepada orang ramai secara menyeluruh.

Mohamad Shamsusyahir memaklumkan, semua lapisan masyarakat terutamanya anak muda mempunyai tanggungjawab yang vital dalam menjaga alam sekitar.

Katanya, ia bagi memastikan Bumi yang diwarisi akan terus terjaga dan selamat untuk didiami oleh generasi masa hadapan.

Pada program itu juga telah berlangsung penyerahan buku manual pengelolaan efluen industri dan pengumpulan e-sisa sempena sambutan Hari Bumi 2023 peringkat Negeri Selangor serta Hari Air Sedunia 2023.

Pelaksanaan program itu turut mendapat kerjasama i-Chem Solution Sdn. Bhd., Jabatan Renjer Hutan, Wetlands International, TM Recycle It Sdn. Bhd. dan Persatuan Kebajikan Pusat Hemodialisis Masjid At-Taqwa Taman Bertam Indah.

SALAH seorang peserta teruja dapat menanam anak pokok bakau.

Sementara itu, Penasihat RAS UiTM Student Chapter, Ts. Nur Ain Mohd. Zainuddin telah menzahirkan ucapan tahniah kepada semua peserta dan penaja dalam merealisasikan penganjuran program kelestarian itu.

Katanya, warga UiTM perlu terus komited untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan rakan-rakan industri bagi memastikan kelestarian alam sekitar lebih terjamin.

“RAS UiTM Student Chapter yang dilancarkan pada tahun lalu akan terus komited membangunkan kesedaran dan menggerakkan anggota masyarakat bagi aktiviti pemuliharaan alam sekitar.

“Selain siri penanaman pokok bakau, terdapat banyak program lain yang akan dianjurkan oleh Persatuan Alam Sekitar di bawah UiTM selepas ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI