PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak di negara ini supaya berusaha dan bekerja kuat demi memastikan Malaysia terus maju dalam tahun-tahun mendatang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, semua pihak turut diseru untuk menjalin usahasama yang erat dalam mempersiapkan sumber manusia negara.
“Bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menghadapi tantangan masa hadapan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sempena Hari Pekerja hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, tanggal 1 Mei adalah hari bagi menghargai daya usaha, jerih perih dan komitmen tidak berbelah bahagi warga pekerja dalam menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran negara.
Menurut beliau, pekerja merupakan tonggak terpenting yang menjayakan agenda pembangunan negara sekian lama.
Ujar beliau, “Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani” mencerminkan aspirasi yang mendukung prinsip kesejahteraan, keadilan, saling menghormati, ihsan serta jalinan kerjasama semua rakyat untuk berganding bahu membina Malaysia menjadi sebuah negara yang bertamadun.
“Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja di Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE