fbpx

Norjanbee Homemade Cookies miliki peminatnya tersendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norjanbee masih setia menghasilkan pelbagai jenis biskut klasik dan juga moden meskipun terkesan dengan kos bahan mentah yang tinggi.

SEBERANG PERAI – Perniagaan bermusim khususnya menjual biskut raya dan makanan popular khususnya bagi musim perayaan sebenarnya mengundang risiko tinggi buat usahawan yang menceburi bidang tersebut.

Tekanan daripada masa yang singkat, kos bahan mentah yang terus meningkat saban tahun dan juga bahan makanan tersebut tidak bertahan lama antara faktor utama bagi usahawan yang tiada pengalaman cuba mengelak untuk menceburi bisnes tersebut.

Lain pula bagi Norjanbee Omar, 56, yang berpengalaman dalam membuat biskut raya sejak 30 tahun lalu, beliau masih setia berniaga menyiapkan tempahan para pelanggan dan dalam masa yang sama menjual di pasaran secara runcit.

Mula membuat biskut raya sejak remaja membantu ibunya di kampung membuatkan lahir minat mendalam untuk menjadi usahawan berjaya dalam industri tersebut sekali gus mendalami ilmu membuat makanan tersebut untuk menghasilkan produk yang sedap, berkualiti dan memenuhi cita rasa pelanggan.

Usahawan yang mesra dipanggil Kak Jan itu, secara berperingkat-peringkat membina empayarnya di bawah jenama Norjanbee Homemade Cookies berdepan dengan cabaran dan rintangan sehingga ke hari ini.

Perniagaannya yang turut dibantu oleh adiknya, Ismabee yang semakin kukuh kini mampu menggajikan beberapa orang pekerja termasuk ahli keluarga dan jiran-jiran untuk membantu menambah pendapatan bulanan mereka.

Cabaran utamanya sebagai peniaga perusahaan kecil dan sederhana adalah kenaikan harga bahan mentah yang berterusan sehingga mampu menggugat nilai jualan bersih dan modal yang digunakan dalam pembuatan biskut raya setiap tahun.

Turut memberi impak pada harga jualannya adalah kos pembelian balang-balang yang dijual dalam pelbagai saiz.

“Kenaikan harga telur, mentega dan tepung yang agak ke­tara ketika ini tidak menghalang saya mengekalkan kualiti biskut dan kek, harga jualan juga masih pada harga yang berpatutan,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Bagan Ajam di sini baru-baru ini.

Norjanbee menjelaskan, buat masa ini, sebanyak 23 jenis biskut raya dijual pada harga antara RM26 sebalang hingga RM35 sebalang.

“Sebelum pandemik, saya buat pelbagai jenis biskut raya dan mampu menjual sehingga 100,000 biji biskut pelbagai jenis (terutamanya ketika musim pe­rayaan).

“Masa itu, harga barang masih murah dan seorang pelanggan membeli sehingga lima atau enam jenis kuih sekali gus.

“Tapi, sekarang ini mereka berbelanja mengikut bajet ma­sing-masing,” jelasnya.

Meskipun begitu, Norjanbee bersyukur kerana permintaan terhadap biskut, cookies dan kek tidak pernah berkurangan setiap tahun walaupun terpaksa berdepan dengan persaingan yang sengit dalam industri itu.

Ibu kepada seorang anak dan juga pernah menjadi tenaga pe­ngajar secara sambilan itu ber­kata, syarikatnya masih mampu mencatatkan jualan secara purata sehingga hampir RM20,000 sebulan.

“Biskut paling murah yang saya jual ketika ini adalah semperit klasik iaitu berharga RM26 sebalang. Semperit ini tak guna banyak bahan yang mahal se­perti badam dan sebagainya.

“Masih ada peminat biskut klasik seperti semperit ter­utamanya golongan muda meski­pun banyak biskut raya yang telah dipelbagaikan ramuan dan resipi menjadi lebih moden dan lebih menarik,” terangnya.

Antara biskut dan kuih raya Norjanbee yang sering mendapat permintaan tinggi adalah Raindrop Cookies, Ferro Rocher, Tart Nanas, Ketipang Payung, Snow Almond, Almond London, Red Belgium dan Oreo Cookies.

Pengalaman pahit berurusan dengan ejen sehingga terpaksa menanggung kerugian membuatkan beliau memilih untuk ber­urusan terus dengan pe­langgan.

“Kadang-kadang apabila kuih tak habis, rosak dan sebagainya, kita dapat tahu lebih awal dan boleh uruskan dengan lebih cepat,” katanya.

Mengulas mengenai peranca­ngan masa depan pula, Norjanbee berhasrat mahu mengembangkan empayarnya dengan memiliki sebuah kedai sendiri bagi memudahkannya menyimpan stok biskut dan kuih raya berbanding bengkel atau dapur khas sahaja ketika ini. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI