fbpx

Ramai ibu bapa anggap SBP, MRSM jamin masa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail MRSM Taiping, Perak antara sekolah yang menjadi pilihan ibu bapa untuk anak-anak menyambung pelajaran mereka.

PETALING JAYA – Ramai ibu bapa beranggapan anak-anak mereka perlu ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi menjamin masa depan dan meng­anggap sekolah biasa tiada keistimewaan.

Melanjutkan pelajaran ke sekolah dianggap ‘elit’ itu didakwa mempunyai silibus yang lebih bagus dan pengajiannya lebih tersusun dan berfokus.

Seorang pekerja swasta yang mesra disapa Hajalina, 38, meng­anggap sekolah harian biasa tidak mempunyai sebarang keistimewaan disebabkan pelajar tidak perlu bersaing untuk belajar di situ.

Katanya, jika seseorang pelajar itu gagal di peringkat rendah sekali pun, dia masih layak berada di sekolah menengah tanpa sebarang halangan dan persaingan.

“Sekolah harian biasa semua pelajar boleh masuk, tiada yang istimewa, tak beri satu kebanggaan kepada ibu bapa yang sememangnya mahukan yang terbaik buat anak mereka.

“Pendapat saya sendiri, me­lanjutkan pelajaran peringkat menengah di MRSM dan SBP beri satu jaminan sebagai pelajar berkualiti apabila silibus yang diajar di sana berbeza dengan pem­belajaran di sekolah menengah biasa,” katanya kepada Kosmo!.

Kata ibu kepada dua anak itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membentuk personaliti serta kemampuan anak-anak agar mereka cenderung untuk belajar dan memberi yang terbaik dalam pelajaran.

“Seperti saya yang letakkan tanda aras untuk anak berjaya ke MRSM atau SBP, saya akan kawal apa mereka makan, apa mereka buat, apa mereka baca dan apa mereka belajar, supaya keinginan saya dan suami untuk lihat mereka berjaya mendapat tempat ke MRSM dan SBP tercapai.

“Anak-anak kita ini manja, kalau tidak serius dengan mereka, mereka akan main-main belajar.

“Alhamdulillah, sekarang ini dua-dua anak di tingkatan dua dan tingkatan empat sedang belajar di dua buah MRSM berbeza,” ujarnya.

Mempunyai pendapat sama, pegawai perubatan, Mohd. Azizi Md Isa, 41, merasakan belajar di sekolah elit seperti MRSM dan SBP akan mendorong anak-anak untuk lebih bersaing dalam pelajaran.

Jelasnya, ia disebabkan sistem pembelajaran yang diamalkan di sekolah tersebut sangat teratur dan berjadual.

“Pelajar yang dapat masuk MRSM dan SBP pastinya mereka yang memperolehi keputusan cemerlang semasa darjah enam atau tingkatan tiga.

“Jika di sekolah harian ini, ramai lagi pelajar yang sekadar datang sekolah tanpa hala tuju selain membawa pengaruh negatif kepada pelajar lain dan situasi ini mungkin akan mengganggu fokus pelajar lain untuk belajar,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI