LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengakui masih terdapat tunggakan hadiah kemenangan yang sepatutnya diserahkan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan menjangkakan bayaran itu akan dapat diselesaikan tahun ini.
Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, tunggakan itu membabitkan bayaran kemenangan musim 2020 memandangkan ketika itu penganjur Liga Malaysia (Liga M) berdepan kesukaran ekoran pandemik Covid-19.
“Sebenarnya MFL memang ada bayaran tertunggak kepada JDT dan ia berkenaan hadiah wang tunai musim 2020. Saya ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) telah dapat perkenan Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk lambatkan bayaran sebab ketika itu Tunku Ismail memahami keadaan kewangan MFL.
“Sebenarnya bayaran telah pun dibuat dan tahun ini akan berakhir. Tunggakan ini hanya dengan JDT, pasukan lain tidak ada dan kita akan selesaikan semua tunggakan itu,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SAM 2023.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan badan induk itu tidak mempunyai sebarang hutang dengan JDT.
Bagaimanapun Ab. Ghani enggan menjelaskan jumlah sebenar yang sudah pun dibayar kepada JDT kerana ia adalah perkara sulit antara kelab dan MFL.
“Memang ketika itu MFL dalam keadaan sukar kerana penarikan diri penaja dan pengurangan tajaan. Maka, Tunku Ismail memahami dan setuju atas permintaan saya ketika itu.
“(Baki) tidak perlu dijelaskan sebab ini antara kelab dan MFL,” katanya.