KUALA KANGSAR – Ribuan graduan kraf tangan seramik yang dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini seolah-olah ‘hilang’ apabila tiada yang berminat untuk terlibat dalam perusahaan kraf labu sayong khususnya di Perak.
Rata-rata pengusaha labu sayong mendakwa, kebanyakan graduan kraf tangan hanya muncul ketika mereka menjalankan latihan industri masing-masing.
Pengusaha labu sayong, Ros Fareez Musa, 51, berkata, dia sentiasa mengalu-alukan graduan kraf tangan seramik untuk bekerja dengannya, namun sejak 15 tahun lalu, tiada seorang pun yang menawarkan diri.
“Bukannya tidak ada pelajar universiti seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau Institut Kraf Negara (IKN) yang menjalankan latihan industri, tetapi selepas habis latihan, tiada lagi khabar berita dari mereka.
“Saya bukan mahu menafikan peranan pihak berkaitan seperti Kraftangan Malaysia dalam memperjuangkan warisan bangsa ini, tetapi jika tiada pelapis, maka tamatlah riwayat seni kraf labu sayong ini satu hari nanti,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ros Fareez berkata, pada ketika ini, dia hanya mengupah sepasang suami isteri bagi membantu menghasilkan labu sayong dengan gaji minimum RM1,500.
“Saya juga dibantu oleh seorang anak, namun dia memberi tumpuan kepada sudut operasi syarikat seperti penjualan secara online,” katanya.
Bagi seorang lagi pengusaha labu sayong, Shahrul Izan Ismail, 38, usahanya untuk mendapatkan pekerja dalam kalangan graduan kraf tangan seramik tidak pernah membuahkan hasil.
Katanya, pencariannya untuk mendapatkan khidmat graduan kraf tangan seramik itu gagal walaupun telah mengiklankan kekosongan jawatan tersebut di pelbagai medium media sosial.
Menurutnya, dia terpaksa mengusahakan perniagaannya seorang diri sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
“Sebelum PKP, syarikat saya, Alam Ijjaz Craft mempunyai tiga orang pekerja, namun mereka terpaksa dilepaskan. Apabila perniagaan disambung semula baru-baru ini, saya menghasilkan labu sayong seorang diri.
“Memang kami memerlukan pekerja mahir. Itulah masalah utama ketika ini kerana ketiadaan pekerja mahir boleh menjejaskan produktiviti,” katanya.
Menurutnya, dia sudah berputus asa untuk mendapatkan pekerja dalam kalangan graduan kraftangan seramik kerana tiada yang berminat untuk menceburkan diri.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Kraftangan Labu Sayong Kuala Kangsar Perak, Muhammad Khalis Mohd. Zalani berkata, terdapat sekitar 60 usahawan labu sayong yang bergiat aktif menghasilkan kraf tersebut di daerah ini.
Ujarnya, kebanyakan daripada mereka sudah membiasakan diri bekerja tanpa khidmat graduan kraf tangan seramik.
“Ramai graduan kraftangan memilih untuk mencari bidang lain yang lebih memebri jaminan kepada mereka,” katanya.