PETALING JAYA – Seorang gadis berkongsi luahan hatinya apabila sering dimarahi ibu selain diminta membuat pelbagai kerja rumah tanpa melibatkan adik-beradik yang lain.
Dia yang enggan namanya didedahkan memaklumkan, sikap ibunya dilihat tidak adil apabila sering melebihkan anak lelaki berbanding dirinya.
“Macam mana nak hadap ibu yang ‘narsisis’. Apa saya buat semua tak kena. Asyik saya sahaja salah. Kalau dia (ibu) buat salah dengan saya sekalipun tak pernah mengaku.
“Dalam hidup saya tak pernah dia cakap ‘maaf’ ataupun ‘terima kasih’ dengan saya. Setiap kali saya buat salah, segala caci maki semua keluar daripada mulut dia.
“Tapi yang pelik ya, dia tak pernah macam itu dengan anak lelaki dia. Anak lelaki dia semua bagus katanya, walhal saya seorang yang buat kerja dalam rumah,” luahnya menerusi satu kiriman mesej yang dikongsi semula oleh pengguna Twitter.
Lebih menyedihkan, setiap kali pulang ke kampung, ibunya pasti akan bercerita buruk tentang dirinya kepada saudara-mara yang lain sehingga membuatnya malu.
“Bila balik rumah mak dia (kampung), habis dia canang semua buruk saya dekat saudara-mara. Kata saya pemalas sedangkan di rumah saya dikerah kerja macam kuli,” luahnya.
Katanya lagi, setiap kali keputusan peperiksaan keluar, ibunya tidak pernah memarahi anak-anak lelaki meskipun mereka meraih markah rendah.
Namun, berbeza dengannya apabila sering dihina apabila gagal mendapatkan keputusan cemerlang.
“Adik-beradik saya belajar tak pandai, kalau gagal pun mak biarkan. Tapi kalau keputusan saya kurang baik habis dicaci, kalau saya cemerlang sekalipun tak pernah dia bangga,” ujarnya.
Tambahnya lagi, situasi tersebut sering menjadi igauan dalam hidupnya sehingga memberi kesan trauma. – KOSMO! ONLINE