fbpx

KBS umum sasaran Sukan SEA Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH (tengah) menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara, Datuk Mohd. Nasir Ali pada majlis yang berlangsung di MSN semalam

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) meletakkan sasaran 40 pingat emas tanpa sebarang kedudukan keseluruhan spesifik buat kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2023 di Kemboja yang akan membuka tirai rasmi pada 5 Mei ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh percaya sasaran 40 pingat emas, 37 pingat perak dan 64 pingat gangsa sebagai realistik selepas meneliti keupayaan barisan atlet yang dihantar dengan sebahagian besar mereka kali pertama bersaing di temasya sukan antarabangsa.

Kata Hannah, kedudukan keseluruhan sama ada berada di tempat kelima atau ketiga bukanlah keutamaan kerana apa yang penting sasaran awal berjaya dicapai selain objektif memberi pendedahan kepada atlet berjaya dicapai.

“Dalam menetapkan sasaran pingat kali ini, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah melakukan perbincangan dengan semua persatuan dan setuju meletakkan sasaran 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa.

“Untuk rekod, kita telah kehilangan 18 pingat emas, 16 perak dan 30 gangsa yang dimenangi pada edisi 2021 di Vietnam kerana keputusan penganjur tuan rumah untuk tidak senaraikan 57 acara sukan terbabit.

“Justeru, saya yakin angka yang ditetapkan pada temasya kali ini realistik selain optimis ada dalam kalangan atlet muda negara mampu cipta kejutan dalam usaha menyumbangkan pingat buat kontinjen kebangsaan,” katanya pada sidang media di Bukit Jalil semalam.

Mengulas lanjut, Hannah mengakui pihaknya tidak boleh meletakkan sasaran spesifik untuk carta keseluruhan pingat selepas kontinjen Malaysia menamatkan saingan di tempat ke-6 pada Sukan SEA 2021 di Vietnam tahun lalu.

“Tak sesuai untuk kita katakan kontinjen Malaysia akan menamatkan saingan di tempat ke-3, ke-4 atau ke-5 keseluruhan. Ini kerana sebahagian besar daripada mereka kali pertama beraksi pada temasya Sukan SEA,” katanya.

Hannah turut mengesahkan angka rasmi kontinjen Malaysia yang akan berlepas ke Kemboja adalah seramai 927 orang melibatkan 676 atlet dan 251 pegawai sertai barisan kejurulatihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI