PETALING JAYA – Minyak masak terpakai kini menjadi buruan ramai berikutan berlaku peningkatan permintaan terhadap bahan itu sejak tahun lalu.
Nilai semasa minyak masak terpakai didakwa lebih tinggi berbanding minyak masak subsidi peket satu kilogram (kg) yang dijual di pasaran pada harga RM2.50.
Seorang pengutip minyak masak terpakai yang mahu dikenali sebagai Yan, 47, berkata, minyak masak yang telah digunakan kini boleh dijual kepada peraih pada harga RM3 sekilogram.
“Saya buat kerja ini secara sambilan sahaja. Saya cuma perlu kutip minyak masak terpakai di rumah-rumah atau kedai-kedai makan berhampiran.
“Minyak masak terpakai ini akan dibeli oleh peraih. Mereka membelinya pada harga RM2.70 sekilogram jika di bawah 120 kg, manakala RM3 sekilogram jika melebihi 120 kg.
“Saya difahamkan, ada pengutip mampu menjana pendapatan sehingga RM6,000 sebulan melakukan kerja mengutip minyak masak terpakai ini.
“Persaingan untuk mendapatkan minyak masak terpakai kini semakin tinggi dan peraih atau pengilang sanggup bayar lebih untuk mendapatkannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, beliau dimaklumkan peraih menjual minyak masak terpakai yang dibeli daripada pengutip kepada pihak kilang pada harga RM5 sekilogram.
Menurutnya, minyak masak terpakai itu seterusnya di eksport oleh pengilang ke luar negara seperti Singapura pada harga SG$15 (RM50) sekilogram.
Yan berkata, kerja mengutip minyak masak terpakai adalah mudah iaitu mendapatkan persetujuan pengguna untuk membeli minyak masak yang telah digunakan oleh mereka sama ada di rumah atau restoran.
Ujarnya, terdapat pengutip menyediakan tong khas untuk penghuni rumah atau pemilik premis makanan meletakkan minyak masak terpakai mereka.
Katanya, pengutip akan datang ke rumah atau premis makanan tersebut sekali seminggu untuk membeli minyak masak terpakai antara RM1.50 sehingga RM2 sekilogram.
“Minyak masak terpakai saya kumpul di rumah dan sekali sebulan saya hubungi peraih untuk datang mengambilnya,” ujarnya.
Untuk rekod minyak masak terpakai boleh dikitar semula untuk dijadikan produk bukan makanan seperti biodiesel sebagai ganti bahan api fosil yang lebih mesra alam.
Bagi pengeluar biodiesel, ia akan ditapis melalui beberapa peringkat sebelum melalui proses kimia untuk dijadikan bahan api kenderaan atau biodiesel.
Ia juga boleh digunakan untuk membuat lilin, pencuci, sabun serta makanan haiwan.