JAKARTA – Seorang wanita bertindak membakar baju raya yang dijahit sendiri untuk suaminya kerana kecewa lelaki itu enggan memakai pakaian berwarna sedondon, lapor portal berita Wolipop semalam.
Berdasarkan klip video tular di media sosial Indonesia, wanita tersebut dilihat membakar baju berwarna hijau yang sepatutnya dipakai suaminya.
“Baju ini saya jahit dengan penuh kasih sayang dan berharap agar lebaran kali ini kami dapat memakai pakaian sedondon,” demikian menurut keterangan video tersebut.
Tambah wanita berkenaan, dia akhirnya kecewa kerana suaminya enggan memakai baju itu.
“Suami tidak mahu memakainya dengan alasan malu untuk pakai warna sedondon bersama isteri.
“Walaupun sudah memaafkan, ia tidak bermaksud kekecewaan yang saya rasai ini terubat,” tambahnya.
Katanya lagi, dia sanggup bersengkang mata menjahit baju raya untuk suaminya di tengah-tengah kesibukan menyiapkan tempahan baju daripada pelanggan sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“Saya memaksa suami memakai baju ini tetapi dia marah-marah sehinggakan kami bertengkar. Namun, dia telah pun meminta maaf,” ujarnya.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Membuat isteri berasa bahagia itu amat mudah sebenarnya. Namun, kadang kala suami tidak sedar semua itu,” kata seorang netizen.
“Sebab itu amat penting untuk saling memahami dalam rumah tangga kerana masalah kecil seperti ini boleh menjadi masalah besar,” kata pengguna lain. – Agensi